Kakitangan TNB dikhuatiri lemas di Loji Empangan Samantan, Karak belum ditemui
Foto atas : Operasi SAR masih gagal menemui mangsa yang dikhuatiri lemas setelah memulakan pencarian pada jam 8.00 pagi hari ini dan akan bersambung pagi esuk.
BENTONG – Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikhuatiri lemas ketika memancing di Loji Empangan Semantan, Karak, Bentong, kira-kira jam 7.00 petang, pada 2 Ogos 2022.
Mangsa yang belum ditemui, Amiruddin Asyraf Mat Saman, 26 tahun, dipercayai gagal menyelamatkan diri dengan memanjat di sebuah batu besar ketika tiba-tiba paras air loji naik mendadak dan mengalir deras.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa dan seorang rakannya telah pergi memancing di kawasan loji pada hari tersebut.
“Menurut maklumat awal daripada rakan mangsa yang terselamat, Yuhanif Abd Mushalleh (32), ketika memancing, paras air loji itu naik mendadak dan mengalir deras.
“Rakan mangsa yang terselamat berjaya memanjat di sebuah batu besar dan mangsa yang masih belum ditemui gagal memanjat batu besar itu dan dipercayai tergelincir terus dihanyut air deras,” katanya hari ini.
Katanya, anggota polis dari Balai Polis Karak telah pergi ke tempat kejadian setelah menerima maklumat dan Pusat Kawalan Daerah (DCC), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong turut menerima panggilan dan dimaklumkan dua orang lelaki warganegara tempatan, berusia 26 tahun dan 32 tahun dikhuatiri lemas di loji itu.
“Ketika anggota polis tiba di tempat kejadian, rakan mangsa yang terselamat berdiri di atas batu besar di tengah sungai dan berjaya diselamatkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) gagal menemui mangsa yang masih hilang hari ini dan operasi mencari ditangguhkan pada 6.00 petang hari ini dan akan bersambung pagi esuk,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat, operasi SAR telah melangkaui jarak sejauh 2 kilometer dari lokasi mangsa terjatuh.
Seramai 55 orang terlibat dalam operasi pencarian, anggota Bomba dan Penyelamat 22 orang melibatkan 2 pegawai, 7 anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) dan 12 SAR.
Turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, polis (7 orang), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) 9 orang, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) 2 orang, kakitangan East Coast Rail Link (ECRL) 5 orang dan dan orang awam 10 orang.-SAHIH.