JPKK Kampung Kedondong, Pulau Tawar bersih kawasan tapak rumah Mat Kilau
Foto atas : Kawasan berdekatan papan tanda kenyataan Mat Kilau dibersihkan daripada bersemak atas usaha Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung di Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut, hari ini.
JPKK Kampung Kedondong, Pulau Tawar bersih kawasan tapak rumah Mat Kilau
JERANTUT – Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kedondong/Masjid telah membersihkan semak-samun di kawasan tapak rumah tokoh pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau di Kampung Kedondong dekat sini, hari ini.
Ketua Kampung Masjid/Kedondong, Mohd. Rozi Rozuki berkata, usaha JPKK membersihkan kawasan rumah kelahiran tokoh pahlawan Melayu itu setelah mendapat perhatian umum menerusi tayangan filem Mat Kilau yang menjadi ‘box-office’ masa kini.
Filem Mat Kilau yang memungut RM61 juta dalam tempoh 17 hari ditayangkan mula membangkitkan rasa jati diri dan kekitaan sejarah Melayu di kalangan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu.
“Kami membersihkan kawasan tapak ini bagi memudahkan orang ramai dan pihak tentu yang mula mengunjungi ke Kampung Kedondong untuk melihat peninggalan sejarah taoak rumah termasuk makamnya sejak akhir-akhir ini selepas filem ini menjadi bualan ramai.
“Oleh itu, kami terpanggil untuk membersihkan kawasan ini agar tidak bersemak dan tidak wajar dibiarkan dan kini sudah ada papan tanda atau maklumat yang memaparkan kehidupan tokoh Mat Kilau yang lahir di Kampung Kedondong,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, dia sedang mendapatkan maklumat yang lebih terperinci berkaitan keluasan kawasan tapak rumah tokoh itu, sudahpun mendapat kebenaran daripada seorang waris Mat Kilau, iaitu seorang cicitnya bernama Ismail Mat Kahar.
“Cicitnya membenarkan saya dan ahli JPKK meneruskan kerja pembersihan tapak ini supaya kelihatan tidak bersemak bagi memudahkan orang ramai melihat walaupun tanpa kesan asal rumah berkenaan.
“Ahli JPKK dan penduduk di sini berharap pembinaan semula rumah Mat Kilau itu dapat dibangunkan segera di Kampung Kedondong kerana berdekatan dengan kubur tokoh itu, galeri sejarah, masjid lama Pulau Tawar serta kesan lain yang membuktikan perjuangan Mat Kilau pada abad ke-19,” katanya.
Seorang ahli JPKK Kedondong/Masjid, Fazli Daini berkata, kerja pembersihan tapak itu mengambil masa yang agak lama kerana keseluruhan tapak itu dipenuhi semak-samun dan pokok pinang, kelapa dan buah-buahan yang sudah tua.
“Setelah mendapat keizinan warisnya, kerja pembersihan dimulakan hari ini dan saya bersyukur serta berpuas hati kerana kawasan di sini sudah terang tanpa semak-samun dan bolehlah dilawati walaupun tanpa kediaman Mat Kilau,” katanya.-SAHIH.