Isyarat pertama Measat-3D diterima, tanda pelancaran berjaya
Foto atas: Satelit Measat-3D dilancarkan pada 5.50 pagi waktu Malaysia di Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guiana, Amerika Selatan. (Gambar Measat)
Isyarat pertama Measat-3D diterima, tanda pelancaran berjaya
KUALA LUMPUR: Tepat 6.41 pagi waktu Malaysia, isyarat telemetri pertama daripada Measat-3D diterima, sekali gus menandakan pelancaran satelit itu berjaya sepenuhnya.
Detik bersejarah itu diumumkan di Dewan Merdeka, Aras 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di mana pelancaran satelit itu disiarkan secara langsung dari Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guiana, Amerika Selatan pada 5.50 pagi waktu Malaysia (6.50 petang waktu tempatan 22 Jun).
Proses pemisahan pertama daripada roket pelancar Ariane-5 berlaku pada 6.19 pagi waktu Malaysia dan pemisahan kedua pada 6.34 pagi sebelum isyarat pertama diterima oleh Bumi tujuh minit kemudian.
Pelancaran satelit Measat-3D mengalami kelewatan 47 minit daripada jadual asal pada 5.03 pagi waktu Malaysia.
–
Satelit kelapan yang dianggar melibatkan kos RM1.2 bilion dengan jangka hayat 18 tahun itu dijangka mampu merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).
Sumber: BERNAMA