Mohon bantuan, anak masih belum sembuh akibat kemalangan jalan raya
Foto atas : Rofidah Khamis (kanan) dan anaknya Muhammad Syazwan (kiri) masih bertongkat.
Mohon bantuan, anak masih belum sembuh akibat kemalangan jalan raya
JERANTUT – Rofidah Khamis, 45, mengharapkan anaknya, Muhammad Syazwan Muhamad Hairi, 15, sembuh daripada kecederaan bahagian kepala, patah pergelangan paha, kaki kiri, manakala tangan kiri masih tidak mampu diangkat selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini.
Dia yang berkerja sebagai pekerja swasta sekolah dekat sini, mengharapkan anaknya dapat bersekolah semula seperti insan remaja yang lain, tetapi nampaknya masih belum berpenghujung kerana kecederaan anggota berkenaan lambat pulih lagipun sebahagian tempurung kepala belum lagi dipasang oleh pihak hospital.
“Anak saya cuma mampu bertatih perlahan-lahan dengan menggunakan tongkat ke bilik air untuk mandi dan membuang air malah pergerakannya cuma terhad di dalam rumah sahaja.
“Saya masih menunggu panggilan pihak hospital untuk menggantikan tempurung kepala yang cedera akibat kemalangan dulu, tetapi tidak tahu tarikh rawatan ini memandangkan kecederaan paha dan kaki kiri belum lagi sembuh,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini hari ini.
Katanya, anak bongsunya itu terbabit dalam kemalangan jalan raya apabila dilanggar sebuah kereta ketika keluar daripada simpang berdekatan Felda tersebut pada 26 Januari lalu sehingga menyebabkan kecederaan parah.
“Kecederaan teruk yang dialami anak saya, iaitu retak di bahagian kepala apabila doktor membuang sebahagian tempurung (kepala) sehingga memberikan kesan sarafnya menyebabkan dia (anak) sering meracau dan menjerit.
“Ekoran kejadian ini, dia dirawat salama sebulan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hosas), Temerloh termasuk ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga minggu,” katanya
Katanya, kecederaan teruk iaitu patah di pangkal paha, kaki kiri dan sehingga ini masih berbalut simen dan dibantu pemasangan besi.
“Agak merungsingkan saya juga tangan kirinya masih tidak mampu diangkat (bukan patah) dan tidak tahu apa sebabnya kemungkinan kesan daripada kemalangan tersebut,” katanya.
Ibu kepada tiga orang anak berusia 23, 18 dan 15 tahun itu berkata, dia dan suaminya, Muhamad Hairi Mohamed, 47, kini masih berulang alik ke Hosas, Temerloh membawa anaknya untuk pemeriksaan dan rawatan doktor pakar sambil berharap cepat sembuh supaya boleh bersekolah semula.
“Keadaan kecederaan sehingga ini amat merisaukan saya dan suami, apapun reda dengan ujian Allah SWT sambil berharap Muhammad Syazwan cepat sembuh,” katanya.
Selanjutnya, Rofidah menjelaskan dalam tempoh ini, anaknya cuma minum susu Nutrien dan Myotein yang melibatkan belanja sebanyak RM500 sebulan, manakala peralatan keperluan kebersihan diri juga melibatkan RM600 sebulan dalam tempoh yang sama.
“Saya juga menggunakan ambulans swasta berulang alik ke Hosas, Temerloh dengan kadar sewa sebanyak RM350 dan kadang-kadang sehingga tiga kali sebulan.
“Mana mampu saya membiayai perbelanjaan berkenaan kerana gaji sebagai pekerja swasta agak kecil cuma untuk keperluan dapur sahaja malahan pekerjaan suami sebagai mekanik di sini juga memperoleh pendapatan yang tidak menentu,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang untuk membantu Muhammad Syazwan bolehlah menghubungi ibunya, Rofidah Khamis menerusi talian 013 9923994 atau terus ke akaun Maybank bernombor 162272838444.-SAHIH.