UNIKL cipta sejarah universiti pertama di Asia Tenggara jalin dalam bidang sistem kawalan isyarat pengangkutan rel
UNIKL cipta sejarah universiti pertama di Asia Tenggara jalin dalam bidang sistem kawalan isyarat pengangkutan rel
LONDON – Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) mencipta sejarah dalam bidang pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional, TVET, apabila menjadi universiti pertama di Asia Tenggara menjalin kerjasama dengan Badan Perlesenan antarabangsa berkaitan sistem kawalan isyarat pengangkutan rel.
Pencapaian itu menerusi kolaborasi bersama Institute of Railway Signal Engineers United Kingdom, (IRSE) yang ditubuhkan lebih 100 tahun lalu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, satu perjanjian khusus akan dimeterai dengan IRSE bagi membolehkan UniKL menawarkan kursus diperingkat Diploma Lanjutan dan Sijil Kompetensi yang diiktiraf di seluruh dunia.
“Selepas ini pihak MARA akan ada kesinambungan dengan UniKL untuk membolehkan akhirnya kita dapat satu persetujuan di antara UniKL dan IRSE dan salah satu yang saya nampak adalah pembangunan tenaga pakar dan profesional dalam bidang rel.
“Keduanya ada kolaborasi dari segi keahlian untuk Malaysia dan barangkali kita boleh menjadi Pusat Penilaian dan wakil IRSE di rantau Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Mahdzir sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Ketua Eksekutif IRSE, Blane Judd di Ibu Pejabat IRSE di London bagi memuktamadkan kolaborasi bidang yang dipersetujui bersama itu.
Turut sama, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf serta Dekan dan Ketua Kampus Pusat Rel Asia UniKL, Profesor Madya Dr. Azman Senin.
“Dalam perjumpaan tadi bahawa kita akan ada banyak perbincangan di peringkat pegawai MARA dan juga di peringkat UniKL untuk membolehkan kerjasama antara UniKL dan IRSE ini dapat diperluaskan.
“Menerusi kolaborasi itu, Pusat Rel Asia UniKL dilantik sebagai Pusat Penawaran Program Pembangunan Profesional bermula diperingkat sijil dan Diploma Lanjutan dalam bidang kawalan isyarat yang diperakui oleh pihak IRSE,” katanya.
Katanya, selain itu IRSE juga bersetuju menjadikan UniKL sebagai Pusat Penilaian kepada mana-mana individu profesional serta jurutera bidang kawalan isyarat yang akan dinilai oleh Pusat Rel Asia UniKL dan juga IRSE untuk membolehkan mereka mendapat persijilan yang diiktiraf di seluruh dunia.
“IRSE turut menawarkan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menjadi penganjur Konvensyen Antarabangsa IRSE pada tahun 2025.
“IRSE yang ditubuhkan pada tahun 1912, kini mempunyai lima ribu ahli dari 53 buah negara serta mempunyai 5,759 pemegang lesen profesional dalam bidang sistem kawalan isyarat dan telekomunikasi pengangkutan rel,” katanya.
Katanya, UniKL di bawah MARA mempunyai fakulti yang berkaitan dengan rel dan kita telah ada universiti ini lebih kurang dalam 7 tahun yang lalu menawarkan ijazah dan diploma dalam bidang kejuruteraan rel.
“Setakat ini kita mempunyai 180 orang pelajar dan baharu sahaja melahirkan seramai 7 orang graduan dalam bidang tersebut,” katanya Mahdzir.
Sementara itu, Dekan dan Ketua Kampus Pusat Rel Asia UniKL, Profesor Madya Dr. Azman Senin berkata, bidang sistem kawalan isyarat komunikasi pengangkutan rel mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan yang boleh dimanfaat oleh pelajar UniKL.
“Kita juga mempunyai keperluan daripada operator untuk mendapat tenaga kerja pakar dan kompetensi dengan pensijilan daripada IRSE, graduan-graduan yang kita lahirkan akan dapat bekerja dan diiktiraf bukan sahaja di peringkat Malaysia malah ia diiktiraf di peringkat Asean.
“Ini sebagai hasrat pertama kita dan tentulah kita ingin melihat kita mampu melatih pelajar atau graduan kita sehingga diperingkat boleh bekerja dan diiktiraf diperingkat global,” katanya.-SAHIH.