Penduduk, pengusaha pelancongan rayu kerajaan ambil langkah drastik elak banjir kilat berulang
Penduduk, pengusaha pelancongan rayu kerajaan ambil langkah drastik elak banjir kilat berulang
BENTONG – Kejadian di sekitar Janda Baik memberikan kesan besar kepada sektor ekopelancongan dan pemain inap desa serta resort yang berlaku sekali lagi awal pagi semalam.
Sekali gus akan merencatkan aktiviti pelancongan kepada pengunjung untuk menikmati suasana nyaman dan persekitaran kampung tradisional di kawasan itu yang terletak di Banjaran Titiwangsa.
Pengerusi Sahabat Alam Tampik, Janda Baik, Rohaimi Anuar berkata, di kawasan Janda Baik menjadi tumpuan pelancong luar dan dalam negara yang inginkan ketenangan dan kedamaian di hutan tropika yang terletak di atas banjaran.
“Di kawasan khususnya di Kampung Pulau Santap yang mempunyai persekitaran yang cantik dan nyaman musnah sekali lagi setelah berlaku banjir pada Disember lalu.
“Operator inap desa dan aktiviti lasak di sini sudah mula membersih segala kekotoran yang dibawa arus deras air Sungai Santap untuk meneruskan perniagaan masing-masing kini berlaku sekali lagi dan mengecewakan penduduk dan pengusaha di sini,” katanya.
Katanya, banjir kilat dipercayai berpunca pembangunan berdekatan dan berharap kerajaan perlu mengambil langkah drastik untuk mencegah sebelum kejadian berulang semula dan bertambah buruk di masa depan.
“Diharap pihak kerajaan terus merangka pelan pembangunan yang lebih mampan untuk pencegahan kejadian ini pada masa akan datang dan seeloknya mengawal penerokaan kawasan tertentu untuk pembangunan,” katanya.
Seorang penduduk dan operator sebuah inap desa, Mohd Rozaha Mohd Noor berkata, kejadian banjir Disember 2021 yang berlaku telah menelan belanja yang besar untuk membaikpulih dan membersih sekitar rumah inap desa di Kampung Pulau Santap.
“Banjir sekali lagi hadir pagi semalam yang membawa lumpur, pasir dan berton-ton batu-batan yang masuk ke dalam premis serta berselerakkan di kawasan ini dan memerlukan jentera dan tenaga kerja untuk membersihkan semula sebelum boleh beroperasi semula.
“Kami terpaksa membatalkan tempahan yang telah dibuat pengunjung kerana proses pembersihan mengambil masa yang panjang,” katanya ketika ditemui.
Pengusaha sewaan sukan bermotor ATV, Mohd Zaimi Mustaffa, 43 tahun berkata, banjir kali ini berlaku lagi dengan 25 buah kenderaan sukan lasaknya yang dihanyutkan air deras dalam kejadian banjir kilat yang berlaku kira-kira jam 4 pagi semalam.
“Baru nak berkira-kira akan beroperasi semula hujung minggu ini selepas sebulan berpuasa dan cuti hari raya tetapi 25 buah ATV dan motorcross telah dihanyutkan air.
“Saya anggarkan kerugian hampir RM200,000 termasuk peralatan alat ganti dan bengkel penyimpanan ATV turut rosak, tidak termasuk kerugian yang saya alami pada banjir Disember lalu” katanya ketika ditemui, semalam.
Seorang penyelia sebuah resort di kampung itu, Fauziah Akib berkata, resort tempat dia berkerja telah terhenti operasi sejak banjir Disember lalu dan dalam proses membaikpulih yang menelan belanja yang sangat besar.
“Banyak bangunan di resort ini perlu dibaiki sebelum dibuka semula kerana dibimbangi membahayakan pengunjung, kejadian banjir kali ini menyebabkan kerugian bertambah dan perlu menangguhkan dahulu pengoperasian semula.
“Kesan banjir kilat ini memungkinkan sektor ekopelancongan dan hospitaliti yang baharu sahaja pulih selepas ancaman pandemik kembali merosot dengan kerugian yang perlu dihadapi oleh pemain industri pelancongan di sini,” katanya.
Seorang penduduk yang rumahnya turut terkesan, Dewi Melati Mohd Aroff, dia berharap pihak berkaitan jangan lagi membuka penempatan baharu di bahagian sensetif bagi menghalang kejadian banjir berlaku lagi.
“Penduduk di sini sedih, terpaksa menanggung kerugian dan kesukaran setiap kali berlaku banjir kilat dan perlu membersihkan rumah yang dimasukki lumpur dan sampah sarap yang dibawa air deras.
“Selain itu, pengusaha rumah inap desa sudah tidak aman dan sering berjaga-jaga setiap kali hujan lebat berlaku, sewajarnya pihak tertentu mengambil inisiatif melakukan perancangan pencegahan banjir kilat,” katanya.-SAHIH.