POSTING FACEBOOK CETUS PANIK
Berita Nasional
POSTING FACEBOOK CETUS PANIK
RAUB: Tindakan individu menggunakan nama Nurul Atiqa memuatnaik status pada laman sosial Facebook mendakwa dia dan suaminya melanggar kuarantin dan mengunjungi beberapa premis di daerah ini mencetuskan rasa panik dalam kalangan penduduk setempat.
Walaupun tidak dapat dipastikan sama ada akaun itu wujud atau sekadar akaun palsu, namun tindakan tidak bertanggungjawab individu terbabit sangat dikesali.
Berdasarkan catatan pada status Facebook berkenaan, dia mendakwa tinggal di rumah saudaranya di Raub selama lima hari, selepas membuat saringan COVID-19 di Kota Bharu Kelantan.
Dakwanya, dia dan suaminya adalah pemakai gelang pink dan sepatutnya menjalani kuarantin wajib selama 14 hari, sebelum memperoleh keputusan ujian saringan.
Sepanjang berada di Raub, Nurul Atiqa mendakwa mengunjungi beberapa kedai makan dan institusi perbankan bagi urusan harian.
Pemilik akaun itu juga mendakwa dia dan suaminya yang baru pulang dari Sabah atas urusan kerja, kini menjalani kuarantin wajib di rumah mereka di Kuantan, selepas menumpang rumah saudara mereka di Raub.
Status di Facebook itu mengundang pelbagai reaksi netizen dan meminta Nurul Atiqa memaklumkan pergerakan dia dan suami kepada pihak berkuasa bagi memudahkan proses pengesanan kontak yang berisiko sepanjang berada di Raub.