Penduduk rayu segera baiki jalan yang semakin mendap
Penduduk rayu segera baiki jalan yang semakin mendap
JERANTUT – Penduduk Kampung Pagi merayu pihak kerajaan segera membaiki kerosakan jalan raya utama kampung itu ke bandar Jerantut yang semakin teruk.
Selain kira-kira 300 penduduk di situ menggunakan jalan tersebut, manakala empat buah penduduk di perkampungan mukim Ulu Tembeling turut menggunakan jalan yang sama untuk urusan ke bandar
Seorang penduduk, Rosli Zulkifli, 64, berkata, keadaan permukaan tar yang pecah berlaku sejak tiga bulan lalu masih belum dibaiki oleh pihak berwajib.
“Kerosakan ini berlaku betul-betul di atas jabatan kecil Sungai Pengau di kampung ini menyaksikan banyak kawasan berlekuk dan pecah mengundang bahaya kepada penunggang motosikal dan roda kereta.
“Hal ini berlaku akibat hujan lebat kerap turun sejak awal tahun ini dan ada takungan air sebelum ini dan kemudiannya dilanyak oleh kenderaan berat lori balak,” katanya di Kampung Pagi hari ini.
Seorang belia, Mustapa Abdullah, 25, menambah sejak kerosakan berlaku menimbulkan kesukaran pengguna melalui kawasan itu terutama ketika berselisih dengan kenderaan lain termasuk ada penunggang motosikal yang terbabit dengan kemalangan kecil di situ.
“Lebih wajar jalan raya ini dibaiki segera memandangkan laluan ini menjadi penghubung bagi penduduk menghantar anak ke sekolah rendah berdekatan.
“Saya khuatir sekiranya laluan ini tidak dibaiki segera sudah tentu menimbulkan ketidakselesaan penduduk di sini lebih lagi semakin ramai pengguna akan melalui jalan raya di kampung ini ke kampung di Ulu Tembeling menjelang dan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.-SAHIH.