Amanah Raya sumbang 1,000 bakul makanan
Foto atas: Pengerusi Amanah Raya Berhad, Datuk Ramli Mohd Noor (tengah) menyampaikan sumbangan itu dengan kerjasama JKM.
Amanah Raya sumbang 1,000 bakul makanan
CAMERON HIGHLANDS – Program Ziarah Komuniti Amanah Raya Berkat Ramadan menyumbang sebanyak 1,000 bakul makanan di 11 buah negeri di Semenanjung dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengerusi Amanah Raya Berhad, Datuk Ramli Mohd Noor berkata, sumbangan itu dengan kerjasama JKM dilaksanakan bermula sambutan bulan Ramadan di negeri di bawah pengurusan pejabat Amanah Raya Berhad.
“Amanah Raya telah melancarkan inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) terhadap mereka yang kurang berkemampuan khususnya bagi meringankan beban ketika membuat persiapan berbuka puasa di bulan Ramadan ini.
“Sumbangan ini dilakukan oleh pegawai daripada Ibu Pejabat Amanah Raya Berhad, Kuala Lumpur serta cawangan wilayah di beberapa buah negeri,” katanya selepas pelancaran program CSR Berkat Ramadan, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pemasaran dan Komunikasi Amanah Raya, Siti Azura Shamsuddin dan Pengurus Kanan Wilayah Timur Amanah Raya, Tuan Noraizan Tuan Long
Sementara itu, Siti Azura berkata, Amanah Raya menyediakan 250 bakul makanan berupa barang keperluan dapur diedarkan ke setiap empat wilayah yang terdiri daripada negeri Johor, negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
“Ada negeri sudah melaksanakan program CSR ini seminggu sebelum umat Islam menyambut bulan puasa khususnya penduduk yang kurang berkemampuan di kawasan yang agak jauh dari bandar terpilih untuk program kebajikan ini.
“Terbaharu, kita telahpun menziarahi empat orang bekas homeguard berusia antara 90 hingga 111 tahun di Lipis, Pahang (Wilayah Timur) untuk menyampaikan sumbangan barang keperluan dapur sebagai persiapan bulan Ramadan,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Tanah Rata, Ilias Abdullah, 54, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Amanah Raya Berhad kerana sumbangan barang keperluan dapur bagi meringankan beban perbelanjaannya menyediakan juadah berbuka puasa.
“Terima kasih kepada Amanah Raya menghulur bantuan barang keperluan dapur dan membolehkan saya menyediakan juadah berbuka puasa untuk tempoh dua minggu dan boleh berjimat cermat , “ katanya. –SAHIH