PKP BERI KESAN BESAR
Berita Nasional
PKP AKAN BERI KESAN BESAR PADA NEGARA- PM
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak mahu Malaysia diheret sekali lagi ke arah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ia memberi kesan besar kepada ekonomi.
Beliau berkata, sekiranya berlaku PKP kali kedua, ia dikhuatiri menyebabkan kerajaan terpaksa memberi bantuan lebih besar kepada rakyat berbanding jumlah yang pernah diberikan sebelum ini.
“Jangan doakan ada PKP lagi kerana bebanan dengan PKP (sebelum ini) adalah amat besar sekali.
“Sebelum ini negara sudah berdepan perintah sekatan dan kesan besarnya sudah nampak. Kalau kali kedua berlaku PKP saya tidak boleh ramalkan kerana kita baru nak pulih,” katanya.
Perdana Menteri turut mengakui kerajaan terpaksa menyuntik lebih banyak bantuan sekiranya PKP ditakdirkan berlaku sekali lagi.
“Bantuan sebelum ini berjumlah RM200 hingga RM300 bilion kita bantu rakyat yang sebahagian besarnya sudah kita salurkan. Kalau PKP kali kedua, kita mungkin kena menyediakan jumlah (bantuan) yang jauh lebih besar yang pastinya memberi kesan besar kepada ekonomi.
“Justeru strategi yang kita ambil ialah jangan fikirkan soal itu (PKP), yang penting dalam kita berdepan gelombang ketiga ini, kena ambil langkah yang lebih baik berbelanja lebih bagi mengawal situasi daripada tidak mahu berbelanja kerana terlalu berhemah.
“Malah untuk permohonan KKM (Kementerian Kesihatan) bagi bantuan dan sokongan saya luluskan 100 peratus sebanyak RM2 bilion yang mana ia penting untuk dilaksanakan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, ramai yang terbabit dalam sektor ekonomi, malah sebahagian besar sektor sosial juga tidak mahu berlakunya PKP.
Namun, katanya jika keadaan lebih buruk tidak boleh dielakkan akibat COVID-19, kerajaan akan mencari jalan untuk membantu rakyat.
“Seboleh mungkin, kita nak elakkan, tetapi kalaulah keadaan menjadi buruk dan meningkat luar biasa, saya tidak mahu doakan maka akan ada langkah dan kerajaan akan mencari jalan membantu rakyat.
“Namun saya fikir biarlah kita melalui fasa ini dahulu dan menantikan perkembangan dengan mengambil langkah sewajarnya akan diambil, ” katanya.
Sumber: BH Online