Empat naskah al-Quran tidak terjejas dalam rumah terbakar
Empat naskah al-Quran tidak terjejas dalam kebakaran rumah
LIPIS – Kagum dengan Kehendak dan Kebesaran Allah SWT berlaku di Taman Pertama, pinggir bandar Kuala Lipis apabila empat naskhah al-Quran tidak terbakar dan masih dalam keadaan sempurna ketika kejadian kebakaran pada pukul 12 tengah hari, baru-baru ini.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Zon Tiga, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Penguasa Bomba, Shahrul Nizam Nasir sambil menunjukkan naskhah al-Quran dalam timbunan abu dalam almari selepas api dipadamkan.
“Kami, seramai tiga orang pegawai dan 15 orang anggota bomba Balai Bomba Kuala Lipis dan balai Sungai Koyan yang menjalankan operasi memadamkan api sungguh terkejut dan teruja apabila mendapati naskhah al-Quran di dalam almari masih berkeadaan elok.
“Apabila disemak helaian naskhah al-Quran ini, tulisan masih elok dan jelas serta boleh dibaca walaupun bahagian tepi ada sedikit kesan kebakaran,” katanya di Taman Pertama, pinggir bandar Kuala Lipis di sini, baru-baru ini.
Menurut Shahrul Nizam, al-Quran berkenaan dijumpai di rumah yang terbakar bernombor 21, Taman Pertama dan pemilik kediaman tersebut, iaitu Mohd Nur Hakim Mohd. Nura.
“Penemuan al-Quran ini merupakan peristiwa kali kedua ketika bertugas sebagai Pegawai Bomba sehingga menimbulkan kehairanan terutamanya rakan saya yang bertugas kerana belum pernah menjumpai al-Quran atau barang lain yang masih elok dan sempurna selepas api dipadamkan.
“Ini peristiwa kedua yang saya alami, kali pertama sewaktu menjalankan kerja menyelamat di sebuah premis pada musim banjir awal tahun lalu (2021) juga menjumpai senaskah al-Quran yang masih elok dan tidak dihanyutkan air,” katanya.
Beliau berkata, kebiasaannya apabila berlaku kebakaran yang besar di sesebuah premis, tidak ada satu pun barang yang selamat kecuali menjadi abu dan arang selepas dijilat api.
“Kejadian al-Quran tidak terbakar merupakan kebesaran Allah SWT dan istiqamah bagi kami sebagai anggota bomba untuk menguatkan iman dan takwa di samping melaksanakan tugas serta tanggungjawab sehabis baik dengan penuh integriti untuk masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Pembantu Hal Ehwal Islam, Pejabat Kadi Lipis, Mohd. Akmal Abdul Manap berkata, penemuan al-Quran yang masih sempurna ketika selepas kebakaran di Taman Pertamam baru-baru ini membuktikan tanda kebesaran Allah SWT menjaga kalam-Nya.
“Kemungkinan juga asbab penghuni rumah yang terbakar ini selalu membaca dan menghayati (mengamalkan) apa yang dibaca dalam surah al-Quran ini dalam kehidupan harian. Maka Allah SWT ingin menunjukkan mukjizat ql-Quran kekal hingga ke hari kiamat, Wallahuaklam,” katanya.-SAHIH.