Gian dadah sanggup terajang bapa tiri
Gian dadah sanggup terajang bapa tiri
YAN – Gian tidak dapat beli dadah, seorang lelaki yang berang tidak diberikan wang sanggup terajang bapa tirinya di bahagian muka serta dada hingga cedera.
Lelaki berkenaan berusia 30 tahun yang menganggur dikatakan melakukan perbuatan tidak bermoral itu ketika berada di rumah keluarganya di Kampung Ruat, kira-kira jam 8.30 pagi semalam yang turut disaksikan ibunya.
Suspek bertindak memukul dan menendang dua kali di bahagian dada dan muka bapa tirinya berusia 71 tahun itu dengan rakaman video berdurasi 30 saat yang turut ditularkan di media sosial, semalam.
Susulan kejadian itu, ibu suspek meminta penduduk kampung melaporkan kejadian berkenaan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji mengesahkan menerima laporan kejadian itu.Beliau berkata, suspek yang juga penagih dadah tegar sering memukul bapa tirinya jika enggan memberikan duit kepadanya untuk membeli dadah.
“Mangsa membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatannya. Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di bahagian ruang tamu rumah didiami mangsa bersama isterinya,” katanya.
Shahnaz berkata, suspek dikatakan masuk ke dalam rumah dan meminta wang daripada bapa tirinya untuk membeli dadah, namun mangsa enggan memenuhi permintaannya itu.
Beliau berkata, suspek ditahan pada jam 6.45 petang semalam di kawasan Lubuk Boi, di sini dan siasatan lanjut sedang dilakukan.
Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Yan dan mengalami bengkak di bahagian telinga kiri akibat kesan tumbukan suspek.
“Siasatan mendapati suspek seorang pesakit mental dan memiliki kad orang kurang upaya (OKU) mental yang disahkan isteri mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 2012,” katanya.
SUMBER – BH