JAIS TANGGUH MAJLIS KAHWIN
Berita Nasional
JAIS TANGGUH MAJLIS KAHWIN
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memutuskan semua majlis akad nikah yang dijadual di masjid dan surau negeri ditangguhkan berkuatkuasa esok.
Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad, berkata pihaknya membenarkan majlis akad nikah berlangsung di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).
Beliau berkata, keputusan JAIS itu merujuk kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor mulai esok sehingga 27 Oktober yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Pelaksanaan majlis akad nikah dengan kehadiran fizikal tidak melebihi tiga orang dibenarkan di PAID tetapi perlu mendapat kelulusan khas Pengarah JAIS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
PKPB akan dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula tengah malam ini sehingga 27 Oktober berikutan peningkatan kes COVID-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas mendengar nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, ia juga mengambil kira peningkatan dan penularan kes yang berlaku, termasuk di Klang dan Petaling, selain pertambahan jangkitan di Gombak serta daerah lain.
Katanya, berikutan penguatkuasaan PKPB itu, pergerakan keluar masuk atau merentas daerah tidak dibenarkan.