2 LAGI SEKOLAH TUTUP
Berita Nasional
DUA LAGI SEKOLAH TUTUP
BALING: Dua lagi sekolah di negeri ini ditutup hari ini, menjadikan keseluruhan lapan sekolah ditutup susulan penularan pandemik COVID-19.
Dua sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Wang dan SK Kuala Ketil, ditutup selama tujuh hari sehingga 19 Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad, berkata mengarahkan penutupan itu bagi mengelak lebih ramai guru, murid dan kakitangan sekolah dijangkiti wabak berkenaan.
Katanya, guru dan murid juga diminta menjalani proses kuarantin di rumah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan.
“Sehingga ini lapan sekolah ditutup membabitkan empat sekolah menengah dan empat sekolah rendah di Baling, Alor Setar dan Pokok Sena.
“Kita berharap dalam tempoh bercuti selama tujuh hari sekolah ditutup ini, ibu bapa dapat membantu murid belajar melalui kaedah secara dalam talian,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, JPN juga menggariskan beberapa kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) untuk murid tidak mempunyai akses internet.
“Guru akan membantu menyediakan bahan pembelajaran murid yang akan diletak di tempat khas yang disediakan di sekolah.
“Waris akan diminta hadir untuk mengambil bahan pembelajaran berkenaan mengikut SOP,” katanya.