Orang Kuala Tahan rayu pemberian Skim Tanah Rakyat pada penduduk tempatan
Orang Kuala Tahan rayu pemberian Skim Tanah Rakyat pada penduduk tempatan
KUALA TAHAN – Sekumpulan penduduk Kuala Tahan merayu berkaitan pemberian tanah melalui Skim Tanah Rakyat (STR) Ladang Tembeling Jaya 1 dan 2 dekat sini, diberi kepada penduduk tempatan, hari ini.
Jurucakap kumpulan berkenaan merayu kepada Menteri Besar Pahang agar campur tangan isu pemberian tanah yang didakwa telah diberi kepada orang luar yang sepatutnya diagihkan kepada penduduk tempatan di situ.
Katanya, mereka mendakwa terdapat 200 penerima STR terdiri daripada penduduk dari luar Kuala Tahan, sedangkan ramai lagi orang tempatan khususnya golongan belia di kampung ini belum memiliki tanah.
“Diharap YAB Menteri Besar diberi peluang berjumpa dengan penduduk kampung untuk kami meluahkan pandangan berkaitan dengan isu ini. Tetapi kami tiada ruang langsung untuk bertemu secara terus ketika Datuk Seri melawat ke ke Kuala Tahan tempoh hari.
“Kami (golongan belia) tidak mahu bertindak sembrono, namun kami ingin mempertahankan hak kami dan bukan golongan pembangkang,” katanya melalui media sosial.
Jurucakap itu berkata, diharap Menteri Besar Pahang meneliti semula penerima tanah berkenaan dengan merujuk kepada penduduk dan kepimpinan tempatan agar pemberian tanah itu sampai kepada sasaran yang sepatutnya.
“Diharap YAB MB beri perhatian berkaitan masalah rakyat, berkaitan STR, hak penduduk tempatan yang sepatutnya diutamakan
“Kami merayu agar Datuk Seri Menteri Besar cakna dengan rayuan kami,” katanya.-SAHIH.