Durian luar musim tidak laku jadikan tempoyak
Durian luar musim tidak laku jadikan tempoyak
JERANTUT – Peniaga yang menjual durian di sini mengganggap buah itu kurang mendapat sambutan pelanggan kerana dikatakan harga buah ini mahal.
Namun, buah yang ‘tidak laku’ itu boleh diproses isinya menjadikan tempoyak yang boleh dijual dan mendatangkan hasil.
Seorang peniaga durian Kampung Damak, dekat sini, Zulkifli Mamud, 56, berkata, dia tidak khuatir kerana buah yang tidak mendapat perhatian pelanggan kerana durian yang gugur di luar musim dianggap mahal.
“Kita sedia maklum dalam keadaan ekonomi masa ini, orang ramai pastinya berhati-hati untuk berbelanja kerana lebih menumpukan kepada perbelanjaan yang sangat perlu sahaja.
“Peniaga sewajarnya menerima hakikat apabila kurang pelanggan berbelanja untuk durian, jangan khuatir kerana isi buah ini boleh diproses menjadi tempoyak, malah ada yang menjadikan pes durian untuk dibuat ais kerim,” katanya ketika ditemui.
Katanya, kita (peniaga) jangan panik apabila durian luar musim tidak laku, bila diproses dijadikan tempoyak orang ramai akan membelinya untuk menjadi juadah gulai masam tempoyak bersama ikan patin, ikan tilapia, ikan lawang dan ikan sungai yang lain.
“Gulai masam tempoyak ikan sungai amat popular bagi penduduk di sini dan boleh didapati dengan mudah di gerai atau kedai makan di sekitar bandar ini dan boleh dipasarkan ke bandar Lipis dan Temerloh.
“Peniaga tidak boleh ‘memaksa’ orang untuk membeli durian dalam keadaan sekarang, peniaga ada pilihan sama ada turunkan sedikit harga buah atau proses menjadi tempoyak, di sini letaknya kreativiti sebagai peniaga,” katanya.
Katanya, jenis durian luar musim yang dijual seperti baka kampung, durian kahwin, 101, D24, Tok Litok dan beberapa baka lain yang lazimnya gugur ketika bermusim.
“Harga jualan ketika tempoh bermusim, iaitu durian kahwin antara RM20 hingga RM25 sekilogram (kg), musang king gred B (antara RM30 – RM35 ), musang king gred A (antara RM60 – RM80), manakala buah kampung antara yang paling murah iaitu RM10 hingga RM15 bagi sekilogram,” katanya.-SAHIH.