Warga emas dan cucu terselamat rumah terbakar
Warga emas dan cucu terselamat rumah terbakar.
JERANTUT – Seorang warga emas dan 2 cucu terselamat dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Blok 1, Felda Jengka 12, kira-kira jam 8.50 pagi, hari ini.
Warga emas itu, Umi Kelsom Abdul Rahman 69 bersama cucunya keluar menyelamatkan diri dari rumah tersebut ketika kebakaran bermula.
Ketua Peneroka Jengka 12, Mat Jamin Mat Hashim, berkata, rumah binaan kayu serta sebahagian kecil binaan konkrit terbakar.
“Warga emas dan cucu mereka ketika itu sedang berada di bahagian dapur. Mujur mereka cepat sedar dengan kejadian itu dan lari keluar dari rumah yang sedang terbakar serta-merta.
“Rumah itu dihuni oleh 2 keluarga seramai 6 orang, dianggarkan 80 peratus rumah itu rentong,” katanya ketika dihubungi.
Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud, berkata, semua 35 masjid di wilayah itu akan melancarkan tabung derma kilat bagi membantu keluarga tersebut.
“Ini sudah menjadi lumrah kepada peneroka dan ahli kariah di sini untuk membantu mereka yang terkesan dengan musibah.
“Selain itu sebagai sebuah keluarga Malaysia yang sering saling bantu membantu, dan ini akan melegakan mereka untuk membaiki rumah yang terbakar itu,” katanya.
Anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Jengka berjaya memadamkan kebakaran kira-kira sejam kemudian.-SAHIH.