Janda Baik ditutup sepenuhnya
Janda Baik ditutup sepenuhnya
BENTONG – Kawasan pelancongan Janda Baik, di Bentong Pahang secara rasminya ditutup sepenuhnya buat sementara dari sebarang aktiviti pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, penutupan itu adalah ekoran kemusnahan banyak fasiliti pelancongan akibat kejadian banjir dan kejadian luruan kepala air yang berlaku pada 18 Disember lalu.
Menurut Mohd Sharkar, seramai 33 pengusaha chalet dan hampir 300 pekerja mereka hilang pekerjaan serta merta dengan mengalami anggaran kerugian sehingga hampir RM 3 juta pendapatan sebulan.
“Kawasan ini secara keseluruhannya ditutup dan Insya Allah akan buat mengumumkan pembukaan semula apabila semua pihak sudah siap sedia membersih, mengemas dan menyiapkan setiap keperluan.
“Jadi saya akan minta pihak pelancongan Pahang mengkaji tempat yang boleh diduduki dan tempat yang tidak boleh diduduki di Janda Baik seperti di Pulau Santap dianggap musnah sepenuhnya,” katanya ketika melakukan tinjauan di kawasan terjejas banjir di sini, semalam.
Katanya, beliau akan berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan membuat permohonan rasmi kepada Kerajaan Pusat bagi memberi perhatian khusus kepada usaha membaikpulih kemudahan asas di kawasan Janda Baik.
“Peruntukan khas juga wajar dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan untuk ditawarkan kepada pengusaha chalet dan resort yang terjejas teruk dalam kejadian banjir lumpur itu.
“Kita pun memang tidak menjangka bahawa kawasan ini akan mengalami kerosakan banjir yang teruk semacam ini, jadi saya berharap pada ketua kampung di sini dan juga kepada pejabat daerah untuk menyenaraikan semua kemudahan yang terjejas musnah dan rosak agar dibaikpulih dengan segera,” katanya.
Katanya, bagaimanapun bagi destinasi pelancongan lain yang tidak terjejas banjir yang teruk seperti Cameron Highland dan Cherating diharapkan kerajaan negeri akan terus melakukan promosi seperti biasa.-SAHIH.