KAFE KOPI CHANTEK TAWAR MENU WAGYU
KAFE KOPI CHANTEK TAWAR MENU WAGYU
Selepas kira-kira 12 tahun terbabit dalam industri perhotelan, anak jati Jerantut, Ahmad Hafiyzul Ahmad Tamizi, 31, mengambil keputusan untuk berundur dan memulakan perniagaan sendiri.
Selepas tiga tahun mengusahakan Kafe Kopi Chantek di bandar Jerantut anak muda itu sudah mula boleh tersenyum apabila usahanya itu memberi kepuasan tersendiri.
Sudah mendirikan rumah tangga bersama Sukhairunnisa Zaheme, 30, tahun lalu, sokongan isterinya menambahkan lagi semangat untuk terus memajukan kafe berkenaan.
“Kafe ini adalah permulaan kepada saya dan isteri untuk meneroka bidang perniagaan berasaskan makanan dan perkhidmatan yang sememangnya mencabar.
“Pemilihan nama kafe ini juga dibuat secara spontan… kebetulan kami menawarkan menu kopi bru yang dihias dengan art pada permukaan setiap minuman dipesan pelanggan, disebabkan itulah nama (Kafe Kopi) Chantek dipilih.
“Selain itu, kami menyediakan kira-kira 64 menu untuk pelanggan… daripada pelbagai jenis masakan panas sehinggalah masakan Barat, untuk kepuasan pelanggan yang menjamu selera di sini,” katanya ketika dihubungi SAHIH, malam tadi.
Ahmad Hafyzul berkata, keunikan kafe diusahakannya ialah hidangan daging Wagyu yang didatangkan khas dari Jepun dan ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan.
Katanya, pelanggan boleh memilih untuk menikmati hidangan daging berkualiti tinggi itu dalam dua killer menu disediakan pihaknya.
“Kita boleh sediakan daging Wagyu dalam bentuk steak atau dihidangkan bersama burger… terpulang kepada selera dan permintaan pelanggan.
“Ini adalah killer menu kami dan tidak boleh ditemui di kafe atau restoran lain di sekitar kawasan bandar Jerantut… harga ditawarkan juga sangat berpatutan dan berbaloi kerana rasanya yang begitu original serta enak,” katanya.
Turut ditawarkan kepada pelanggan ialah Set Tower yang mempunyai pilihan set untuk dua orang hingga enam orang pada harga bermula RM45 hingga RM75.
Melalui set ini, pelanggan boleh menikmati gabungan masakan panas dan masakan Barat seperti nasi goreng, kentang, spaghetti, meatballs, mash potatoes dan chicken wings.