Harta arwah ayah, walaupun selalu kena banjir tetap menjadi amanah
Harta arwah ayah, walaupun selalu kena banjir tetap menjadi amanah
Oleh Amir Hamzah Nordin
JERANTUT – Dia teringat arwah ayahnya bila musim tengkujuh hadir, dia (arwah ayah) akan mengangkut dan memindahkan barangan berharga ke rumah rakit yang memang sudah siap sedia sepanjang tahun kerana selalunya setiap hujung tahun sehingga awal tahun akan berlaku banjir di daerah Jerantut.
Suhaimi Roja, 36 tahun berkata, kali pertama banjir hadir pada 24 hingga 27 Disember, ketika itu paras air sampai ke bumbung bahagian dapur rumahnya.
“Tidak sampai seminggu keletihan mengemas dan membersihkan rumah belum reda selepas dilanda banjir akhir tahun lalu, datang lagi banjir gelombang kedua pada jam 9.00 malam 1 Januari baru-baru ini.
“Saya, emak dan kakak berpindah semula ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir di Sekolah Kebangsaan Teh, tapi banjir kali kedua melanda sedalam kira-kira 1.2 meter,” katanya ketika ditemui di hadapan rumahnya, semalam.
Katanya, pada tahun 2014, banjir naik sehingga kira-kira 10 meter (32 kaki), habis satu rumah sudah tidak nampak bumbung, sehinggakan bila berperahu, pendayung terkena bumbung rumah.
“Memang berhajat nak ubahsuai rumah tinggi seperti dua tingkat, tapi kami keluarga orang susah tidak mempunyai modal untuk membina rumah baharu,” katanya.
“Kedudukan rumah kami terletak rendah kira-kira 2 meter dari paras jalan raya dan setiap hujung tahun hatinya dan keluarga berdebar-debar bimbang air naik terutama di waktu malam,’ katanya.
Katanya, dia sekeluarga takut, jikalau air naik sangat cepat dan deras, rumah itu berdekatan dengan Sungai Pahang, dua rumah di sini adalah paling awal akan ditenggelami air bersama rumah emak saudaranya.
“Tapi saya bersyukur apa yang ada, ini harta arwah ayah tinggalkan, saya jaga amanahnya bersama tanaman yang ada di kawasan belakang rumah,”katanya.-SAHIH.