Penduduk menyelamatkan diri masing-masing daripada gangguan gajah
Penduduk menyelamatkan diri masing-masing daripada gangguan gajah
JERANTUT – Kejadian bunyi yang kuat dari arah sebuah rumah mengejutkan penduduk yang sudah tidur pada jam 11.00 malam untuk keluar rumah menyelamatkan diri masing-masing, semalam.
Dalam kejadian malam semalam, seekor gajah liar telah menceroboh ke penempatan Orang Asli etnik Bateq di Kampung Yong berdekatan Taman Negara Kuala Tahan dekat sini.
Sebelum itu, tiga malam berturut kehadiran haiwan liar itu ke kampung tersebut, kejadian malam ketiga adalah lebih dasyat dan lebih dekat dengan penempatan kampung itu.
Gangguan haiwan liar itu menyebabkan sebuah rumah penduduk rosak serta banyak barang makanan di dapur dimusnahkan dan berselerak di tanah berdekatan rumah dan beberapa pokok buah-buahan ditumbangkan.
Seorang penduduk Orang Asli etnik Bateq, Boyong a/l Boyong, 40-an, berkata, ancaman gajah itu menyebabkan sebuah rumah penduduk rosak, banyak peralatan serta barang dapur serta makanan berselerak di atas tanah.
“Di samping meninggalkan ketulan najis selepas haiwan ini beredar kembali ke hutan, kejadian pencerobohan gajah liar di kawasan penempatan penduduk di sini bukan kali pertama tetapi sudah beberap kali tetapi kali ini, haiwan itu sudah masuk ke kawasan perkampungan.
“Penduduk Orang Asli di sini terdiri daripada seramai antara 40 hingga 60 orang daripada 15 keluarga yang menetap di situ di samping ketika kejadian itu ada segelintir daripadanya telah berpindah ke tempat lain,” katanya.
Seorang penduduk kampung itu, Sahar a/l Ajib berkata, kejadian ini menyebabkan habis harta benda termasuk rumah mereka rosak sehingga terpaksa berpindah ke kawasan berdekatan seberang Sungai Tembeling dengan membina pondok sementara untuk mengelakkan gangguan gajah liar.
Katanya, dia berharap ada pihak berwajib dapat membantu mengatasi gangguan gajah liar itu bagi membolehkan penduduk kembali semula ke kampung ini dengan selamat dan selesa mencari rezeki.
“Mujur malam itu, saya sedar dan ternampak seekor gajah mula menceroboh lalu memberitahu orang lain supaya keluar bersama keluarga lari menyelamatkan diri masing-masing, diharap ada pihak berwajib dapat membantu mengatasi gangguan gajah liar ini bagi membolehkan penduduk kembali semula ke kampung ini dan selesa mencari rezeki.
“Sekarang, penduduk di sini takut untuk masuk ke hutan mencari sumber hutan seperti rotan, akar kayu dan pelbagai sumber lain kerana bimbang bertembung dengan haiwan ini,” katanya.-SAHIH.