SCHUMACHER HARGAI HAMILTON
Berita Global /Sukan
MICHAEL SCHUMACHER HARGAI LEWIS HAMILTON
NURBURGRING: Lewis Hamilton menerima topi keledar perlumbaan yang pernah digunakan Micheal Schumacher selepas dia menyamai rekod 91 kemenangan diraih legenda itu di Grand Prix (GP) Eifel, malam tadi.
Pelumba dari Britain itu diganggu ketika sesi temubual oleh anak Schumacher, Mick yang menyerahkan memorabilia ikonik itu sekali gus mencetuskan detik yang menyentuh hati.
Ia seakan seperti sudah ditakdirkan apabila Hamilton menyamai rekod yang dilakukan Schumacher pada 2006 itu di tanah air pelumba Ferrari itu sendiri iaitu di Jerman.
Hamilton kemudiannya berdiri di atas podium dan menjulang topi keledar terbabit ketika dia meraikan kemenangan ketujuhnya dalam 11 perlumbaan.
Pelumba berusia 35 tahun itu berkata: “Terima kasih. Ini adalah satu penghormatan. Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan.
“Apabila anda membesar menyaksikan seseorang dan menjadikan dia sebagai idola. Apa yang dia lakukan berterusan.
“Saya masih ingat bermain sebagai Michael Schumacher dalam permainan yang dipanggil GP2. Melihat dia mendominasi dalam tempoh masa yang panjang, saya tidak pernah terfikir dapat menyamai pencapaiannya.
“Jadi, ini adalah satu penghormatan yang menakjubkan. Saya perlukan masa untuk membiasakan diri dengan semua ini.
“Semasa saya tiba di garisan penamat, ketika itulah baru saya sedar yang saya sudah menyamai rekod itu.
“Saya tidak terfikir mengenainya sebelum itu. Saya tidak dapat melakukannya tanpa pasukan hebat yang sentiasa memberikan sokongan. Jadi terima kasih dan penghormatan besar buat Micheal,” katanya.
Sumber: Agensi