Pekerja kontrak Hospital Lipis maut dirempuh kereta
Pekerja kontrak Hospital Lipis maut dirempuh kereta
LIPIS – Seorang remaja meninggal dunia di Unit Kecemasan, Hospital Lipis setelah mengalami kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya di Jalan Datuk Mahmud (berhampiran Institut Pertanian Kuala Lipis), kira-kira jam 1.00 pagi, hari ini.
Remaja maut yang menunggang motosikal itu, Syed Muhammad Razin Syed Jafri berusia 19 tahun, seorang pekerja kontrak Hospital Lipis dan beralamat di Kuarters Institusi Pertanian, di sini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, motokar yang dipandu oleh remaja berusia 19 tahun dari arah Bandar Baru Kuala Lipis menghala balik ke rumahnya di Taman Pertama dekat sini dikatakan gagal mengawal kenderaannya ketika tiba di lokasi kejadian.
“Pemandu itu gagal mengawal motokarnya dan masuk ke laluan bertentangan dan berlaku rempuhan dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan di jalan berselekoh dan bergaris putih berkembar, ketika kejadian jalan raya basah dan gelap.
“Kesan kemalangan itu, motokar itu rosak teruk di bahagian hadapan, fender kiri dan kanan kemek dan lain-lain kerosakan belum pasti, manakala motosikal terbabit rosak teruk di bahagian depan,” katanya.
Katanya, pemandu motokar telah ditahan dan dihantar ke hospital untuk diambil sampel darah dan ujian air kencing untuk menguji tahap alkohol dan dadah, manakala mayat remaja akan dibedah siasat selepas ujian Covid-19 diketahui.-SAHIH.