Rezeki pemancing perolehi ikan kelah merah berharga RM3,100 selepas banjir
Rezeki pemancing perolehi ikan kelah merah berharga RM3,100 selepas banjir
LIPIS : Seorang pemancing di Sungai Tanum di Kampung Chegar Perah, Mukim Batu Yon 2 dekat sini, Abd. Hadi Sulaiman, 47, memperoleh seekor ikan kelah merah atau nama saintifiknya Tor putitora seberat 12. 4 kilogram dan berharga RM3,100 menjadi rezeki ‘besar’ baginya.
Abd. Hadi berkata, banjir yang melanda kampung tersebut bulan ini membawa tuah di sebalik menanggung kesusahan yang menimpa dirinya serta penduduk di situ yang menjadi mangsa banjir akibat air Sungai Tanum yang mengalir daripada Ulu Jelai melimpah masuk ke rumah.
Katanya, kesempatan air sungai mulai surut dua hari lepas, dia turun memasang jaring sambil berharap sekiranya ada rezeki atau tuah memperoleh ikan liar dapatlah dia berjualnya untuk menampung pendapatan untuk membeli peralatan perlu selepas banjir
“Semalam pada jam 6.30 patang, saya turun memasang jaring 8 inci di sungai Tanum berdekatan rumah sambil berdoa serta mengharap ada rezeki (ikan liar) terperangkap dalam jaring ini.
“Ketika turun ke sungai ini pada jam 7 pagi tadi, hari ini untuk melihat jaring yang dipasang ternampak jaring bergoyang dengan kuat seolah-olah seekor ikan besar tersangkut di samping menggelepar sehingga air yang kuat berkocak di permukaan sungai,” katanya.
Katanya, doanya dimakbulkan Allah SWT apabila ditarik sahaja jaring ke atas ternampak seekor ikan kelah merah bersaiz besar iaitu satu-satunya spesies ikan liar di habitat sungai yang paling mahal di pasaran negara ini yang tidak pernah ditangkap sejak dia berkecimpung sebagai pemancing di Sungai Tanum sejak 20 tahun lalu.
“Saya menarik jaring perlahan -lahan ke atas bot gentian kaca bimbang sekiranya rezeki ikan kelah ini yang kuat menggelepar ini terlepas ke sungai semula, apabila dapat mendaratkan ikan dan dibawa pulang ke rumah, saya menimbang ikan ini seberat 12.4 kilogram menyebabkan saya terkejut seketika sambil membayangkan jumlah pendapatan hari ini.
“Saya bersyukur memperoleh rezeki ini dan bercadang untuk memasang jaring ini semula di tempat yang sama pada petang ini sambil berharap ada lagi ikan kelah merah atau spesies liar lain tersangkut pada peralatan ini untuk membeli peralatan untuk membaiki rumah sejak rumah dilanda banjir,” katanya.-SAHIH.