Perubahan jalur lebar 4G, penduduk luar bandar terkesan tukar peranti dan liputan meluas
Perubahan jalur lebar 4G, penduduk luar bandar terkesan tukar peranti dan liputan meluas
LIPIS – Penamatan rangkaian 3G di negara ini sepenuhnya pada akhir 2021 sebagai satu usaha ke arah peningkatan liputan jalur lebar yang lebih komprehensif dan berkualiti tinggi di bawah infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Sebilangan besar penduduk khususnya di bandar sangat gembira dengan inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi mempersiapkan negara ke arah peralihan teknologi 5G.
Namun, penduduk atau pelanggan luar bandar masih berdepan dengan kesukaran seperti alat peranti yang masih menggunakan rangkaian 3G di samping kebanyakan lokasi pedalaman masih sukar diakses internet.
Ketua Kampung Chegar Perah, Lipis, Ahmad Awang Derani berkata, perubahan rangkaian itu akan memberikan manfaat kepada semua pihak dengan peningkatan kapasiti, kelajuan dan liputan jalur lebar.
“Negara ini sudah memasuki pemulihan sektor ekonomi selepas pandemik Covid-19 dan memberikan banyak manfaat apabila beralih kepada liputan 4G dapat memperceptkan urusan masing-masing dalam bidang usahawan dan perniagaan.
“Cuma kemungkinan kebanyakan penduduk luar bandar masih menggunakan alat peranti dalam rangkaian 3G yang tidak dapat ditukar kepada liputan 4G sekali gus memerlukan (peranti) yang baharu serta mampu menyokong fungsi atau liputan 4G,” katanya ketika dihubungi di Kampung Chegar Perah dekat sini hari ini.
Rakannya, Ketua Kampung Tanjung Buloh, Lipis, Najid Abu pula menyokong peralihan tersebut yang dianggap signifikan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada orang ramai dari segi pengalaman yang lebih baik ketika melayari internet menerusi kelajuan jalur lebat 4G.
“Namun ada sesetengah kawasan di luar bandar dan pedalaman masih lagi belum ada capaian internet yang sempurna misalnya di kampung saya sendiri ada sesetengah lokasi masih belum boleh diakses dengan talian internet dan telefon,” katanya.
Selanjutnya Najid menambah usaha SKMM menerusi Jendela meningkatkan liputan 4G dan kapasiti untuk memasuki asas liputan 5G merupakan langkah terbaik kerajaan, tetapi kesan akan timbul kepada penduduk golongan B40 dan miskin yang menggunakan alat peranti yang kurang canggih.
Bagi Ketua Kampung Kuala Sat, Jerantut, Abdul Jabar Dollah berkata, penduduk luar bandar dan pedalaman masih keliru dengan peralihan liputan tersebut, tetapi dia berpandangan amat baik bagi negara sudah melangkah ke bidang teknologi komunikasi yang lebih tinggi serta peralatan yang canggih.
“Apapun terkesan juga bagi penduduk di luar bandar yang menggunakan alat peranti 3G yang murah memerlukan perbelanjaan untuk menyediakan peralatan yang baharu dan canggih yang boleh mengakses maklumat menerusi liputan 4G.
“Bagi pandangan saya, peralihan jalur lebar 4G memberikan kemudahan pembangunan sektor ekopelancongan dan pasaran makanan tempatan menerusi pusat internet sekiranya direalisasikan sepenuhnya pada 2022,” katanya di Kampung Kuala Sat, dekat sini.-SAHIH