TIADA HIMPUNAN DI ISTANA NEGARA ESOK
Berita Politik
TIADA HIMPUNAN DI ISTANA NEGARA ESOK
KUALA LUMPUR: PKR tidak menganjurkan sebarang perhimpunan sempena presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah di Istana Negara, esok.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ahli PKR diarah tidak mengadakan perhimpunan atau berkumpul di mana-mana tempat, terutama di jalan utama menuju Istana Negara.
“Saya juga pohon semua rakyat bertenang ketika majlis menghadap ini berlangsung, termasuk jika berlaku sebarang proses selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.
Saifuddin turut mengingatkan Ahli Parlimen supaya terus berkhidmat di kawasan masing-masing dan mengutamakan isu kebajikan serta nasib rakyat ketika pandemik COVID-19 menular.
Sumber: BH Online