Gempar, disangka anak hilang, rupanya tertidur
Gempar, disangka anak hilang, rupanya tertidur
RAUB: Kegusaran sebuah keluarga tentang anak tirinya dipercayai hilang di Kampung Baru Kela, Ulu Sungai, Cheroh semalam akhirnya terjawab apabila anak itu dijumpai tertidur kerana keletihan.
Mangsa, Mohamed Salehuddin Mohamed Helmi, 25 telah dijumpai dalam keadaan selamat di kebun berdekatan sungai dipercayai tertidur akibat keletihan.
Ketua Polis Daerah Raub
Superintendan Kama Azural Mohamed berkata semalam pada kira kira jam 8.30 malam, anggota Pondok Polis Batu Malim, Cheroh, telah menerima panggilan daripada seorang lelaki Melayu menyatakan anak tirinya yang keluar pada jam 10.00 pagi, masih belum balik ke rumah.
Kama Azural berkata, menurut lelaki terbabit, anak tirinya dipercayai naik ke atas bukit Kampung Kela, Ulu Sungai, Cheroh, bagi tujuan mencuci dan membersihkan paip di empangan bersama sepuluh orang lagi kawannya.
Katanya, bertindak atas maklumat yang diperolehi, pada kira kira jam 9.00 malam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh anggota Balai Polis Cheroh dengan dibantu oleh orang kampung.
Beliau berkata mereka mencari di kawasan empangan, menelusuri tepian sungai sehingga ke jalan besar, namun masih tidak menjumpai mangsa.
” Hasil temuramah bersama rakan-rakannya, mangsa didapati telah tiada ketika mereka sedang mencuci dan membersihkan paip empangan dan ketika turun ke tempat letak motorsikal, rakan-rakan mangsa dapati motorsikal mangsa masih berada ditempat mereka meletakkan motorsikal.
“Rakan mangsa beranggapan mangsa telah balik ke rumah, namun tiada juga dijumpai,” katanya.
Kama Azural berkata pada hari ini pada kira kira jam 11.15 pagi, mangsa telah dijumpai dalam keadaan selamat disebuah kebun berdekatan sungai dipercayai tertidur akibat keletihan.-SAHIH