UBAT ANTIMIKROB BASMI COVID-19
Berita Global
UBAT ANTIMIKROB BASMI COVID-19
HONG KONG: Ubat anti-mikrob untuk merawat ulser perut dan jangkitan bakteria menunjukkan petanda positif bagi membasmi coronavirus dalam haiwan.
Penyelidikan dihasilkan saintis Hong Kong itu ketika ini turut meneroka kemungkinan sama ada ubat itu mempunyai keupayaan untuk memerangi coronavirus SARS-CoV-2 (nama saintifik COVID-19).
Menggunakan tikus Syria sebagai bahan uji kaji, penemuan mendapati satu daripada ubat berkenaan, iaitu ranitidine bismuth citrate (RBC) adalah ejen anti-SARS-CoV-2 yang sangat kuat.
Penyelidik Universiti Hong Kong, Runming Wang, menjelaskan RBC mampu mengurangkan bilangan virus dalam saluran pernafasan tikus Syria sebanyak 10 kali ganda.
“Oleh itu, penemuan kami mendapati RBC mempunyai potensi sebagai ejen antiviral bagi COVID-19,” katanya.
Ubat antiviral yang digunakan untuk tujuan meluas, remdesivir dan sejenis kortikosteroid, dexamethasone, sebelum ini dikenal pasti antara penawar untuk merawat COVID-19.
Bagaimanapun, penggunaan kedua-dua jenis ubat berkenaan, termasuk dalam merawat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, selepas disahkan positif COVID-19 dilaporkan mempunyai kesan sampingan.
Wang berkata, harga remdesivir di pasaran mahal dan ia berdepan kekurangan kadar bekalan untuk pesakit di seluruh dunia, manakala dexamethasone mempunyai kesan terhadap sistem pertahanan badan yang berupaya mengundang risiko sekiranya diberikan kepada pesakit kritikal.
“Ubat lain yang digunakan untuk merawat COVID-19 pula boleh merosakkan fungsi hati, justeru RBC adalah pilihan rawatan paling selamat setakat ini,” katanya.
Sumber: AFP