Lebuhraya KLK dan LPT1 ditutup kepada semua kenderaan
Lebuhraya KLK dan LPT1 ditutup kepada semua kenderaan
KUALA LUMPUR – Semua pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa (LPT1) diminta menangguh perjalanan masing-masing ekoran beberapa tempat di laluan itu berlaku banjir dan tanah runtuh.
ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya KLK dan LPT1, memaklumkan mengenai kejadian itu berikutan hujan lebat yang berterusan sejak semalam.
Pengurus Besar Kanan, ANIH berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, sehingga jam 9 pagi ini, hanya laluan Lebuhraya KLK dari Genting menghala ke Gombak boleh dilalui, dan kesemua jalan lain adalah terhalang iaitu selepas KM66.
“Untuk makluman, syarikat sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuhraya. Untuk itu, kerja-kerja membaik pulih kawasankawasan yang terjejas akan dilakukan segera.
“Buat masa ini kebanyakan laluan masih terhalang dan pengguna boleh mendapatkan info semasa laluan alternatif menerusi JKR Pahang,” katanya.
Katanya, mangsa-mangsa yang terkandas di lebuhraya juga akan diberikan bantuan sewajarnya oleh petugas lebuhraya seperti bantuan makanan dan minuman.
“Bersama-sama panjatkan doa supaya banjir di Pahang dan negeri-negeri lain pulih sepenuhnya,” katanya.
Sila ikuti laman rasmi media sosial Lembaga Lebuhraya Malaysia / ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi Hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT-Line di 09 5479111/ 1-700-818-700 untuk maklumat sahih dan terkini.
SUMBER- LLM / ANIH Berhad