JPN Bantu Penghuni Sang Riang Perbaharui MyKad
JPN Bantu Penghuni Sang Riang Perbaharui MyKad
BERA – Seramai 331 penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang selesai memperbaharui MyKad mereka selepas kakitangan JPN Cawangan Bera mengunjungi rumah kebajikan itu semalam.
Pengerusi rumah kebajikan berkenaan Yap Yoke Moey berkata, kehadiran kakitangan JPN ke premis itu membantu menyelesaikan masalah dihadapi penghuni yang mempunyai masalah untuk berurusan di pejabat JPN bagi tujuan menukar MyKad mereka.
“Ada penghuni yang sudah lama mengalami masalah dengan MyKad mereka, ada yang mengalami masalah cip hingga menyukarkan urusan.
“Kedatangan kakitangan JPN ke sini sangat memudahkan urusan kami dan semua proses penukaran MyKad berjalan lancar dan selesai dengan cepat,” katanya.
Yoke Moey berkata, masalah kerosakan MyKad dialami penghuni rumah kebajikan itu sudah lama dan ada antaranya yang kehilangan MyKad berikutan sering berpindah sebelum menetap di rumah kebajikan terbabit.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak JPN Cawangan Bera dan semua pihak yang sentiasa berusaha membantu memudahkan urusan penghuni yang ditempatkan di situ.
“Sebelum ini ada pasukan doktor yang selalu datang ke sini untuk memantau perkembangan kesihatan penghuni dan sekarang JPN pun datang bantu kami, memang sangat terharu dengan keprihatinan semua pihak terhadap kami,” katanya.- SAHIH