ALLEYA RUMAIESYAH ABDULLAH MAHU TEMUI PERMAISURI AGONG
Berita Nasional
ALLEYA RUMAIESYAH ABDULLAH MAHU TEMUI PERMAISURI AGONG
LANGKAWI: Remaja perempuan yang juga pesakit kanser otak tahap empat menyimpan hasrat diberi peluang menghadap Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Alleya Rumaiesyah Abdullah, 13, dari Pelabuhan Klang, Selangor berkata, impian itu bertujuan mendapat kata-kata semangat daripada baginda bagi membolehkannya terus berjuang melawan penyakit yang dideritai sejak 10 tahun lalu.
“Impian pertama untuk menjejakkan kaki dan menikmati keindahan Pulau Langkawi sudah tertunai sejak tiga hari lalu, dan impian saya seterusnya adalah menghadap Raja Permaisuri Agong.
“Sepanjang di Pulau Langkawi, banyak tempat cantik saya lawati, malah saya menangis sebaik dapat mandi kolam besar di hotel penginapan,” katanya ketika ditemui pada Program Menunaikan Impian (PMI) Siri anjuran Persatuan Ziarah Sahabat Kanser (PZSK) dan Kem Isi Rimba (KIR) di sini, hari ini.
Anak sulung daripada enam beradik itu dikesan menghidap ketumbuhan dalam otak ketika berusia tiga tahun dan pernah menjalani pembedahan memasukkan tiub menghubungkan otak hingga perut.
Bapanya, Idaruzi Samsudin, 46, berkata anaknya meluahkan hasrat melancong ke Pulau Langkawi sejak berusia 10 tahun tetapi tidak mampu ditunaikan beliau dan isterinya, Nor Azizah Said, 44, akibat kesempitan hidup.
“Dia (Alleya Rumaiesyah) ada cakap ‘abah kakak teringin sangat nak pergi Langkawi nak tengok pulau’… Alhamdulillah hajat pertamanya itu tertunai hasil usaha PZSK dan KIR.
“Mungkin hajat keduanya nak sangat diberi peluang menghadap Raja Permaisuri Agong akan tiba juga suatu hari nanti,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PZSK, Zaki Yahya berkata, Alleya Rumaiesyah adalah kanak-kanak penghidap kanser keenam diraikan pihaknya menerusi PMI dan masih ada beberapa pesakit menunggu giliran bagi menyertai program sama.
“Sejak ditubuhkan kira-kira setahun lalu sehingga kini, seramai 400 pesakit kanser seluruh negara telah kami ziarah dan program bermatlamat murni ini akan berterusan,” katanya.
Sumber: BH Online