MAUT RUMAH TERBAKAR
Berita Jenayah
MAUT RUMAH TERBAKAR
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres setingkat di Jalan Helang Belalang 2, Kepong Baru, di sini, malam tadi.
Mangsa berusia 74 tahun itu yang dipercayai menghidap penyakit angin ahmar, disahkan meninggal dunia akibat melecur teruk.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 8.39 malam.
Susulan itu, katanya, seramai 35 anggota bersama lapan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, BBP Pantai, BBP Sentul serta BBP Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi berkenaan, anggota mendapati ada seorang mangsa terperangkap di dalam sebuah rumah teres yang terbakar.
“Anggota segera bertindak memadamkan kebakaran dan menyelamatkan mangsa.
“Rumah itu terbakar 80 peratus, manakala mangsa melecur 100 peratus. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Unit Anjing Pengesan (K9) turut dikerahkan ke lokasi bagi mengenal pasti punca kebakaran berkenaan.