Bahasa Melayu duduki tangga ke-10 popular di dunia
Bahasa Melayu duduki tangga ke-10 popular di dunia
JOHOR – Rakyat Malaysia harus berasa bangga kerana bahasa melayu bukan sahaja masih diguna pakai di peringkat antarabangsa tetapi menduduki tangga ke-10 bahasa paling popular penggunaannya di dunia,
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa ini terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih diguna pakai, akan tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang dikategori dan diberi taraf bahasa rasmi termasuk bahasa melayu.
“Sebagai keluarga malaysia dan empunya bahasa ibunda ini, kita harus berasa bangga kerana di celah-celah ruang penguasaan teguh bahasa Inggeris, bahasa Melayu tetap ampuh mencorak ritma yang tersendiri dan sentiasa mekar di persada tamadun dunia.
“Keadaan ini tidak berlaku kepada semua bahasa utama dunia kerana terdapat bahasa yang lenyap ditelan arus globalisasi, manakala sebahagian yang lain berhadapan dengan ancaman kepupusan.”
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021, di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pada Ahad.
Katanya, Malaysia seharusnya bersyukur kerana perkara itu tidak berlaku kepada bahasa Melayu memandangkan semuanya hasil kesepaduan rumpun nusantara yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam selaku pendukung utama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Dengan itu, adalah tidak mustahil jika bilangan penutur bahasa Melayu di dunia ini yang sekarang ini sudah pun melebihi 300 juta orang, malah akan lebih berkembang, sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan ‘lingua franca’ bahasa Melayu
Perdana menteri bagaimanapun menegur trend masa kini yang menyaksikan program swasta, malah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi-agensi kerajaan yang tidak menggunakan bahasa Melayu.
Kata beliau, kerajaan mahu mengulangi sejarah kegemilangan bahasa Melayu dengan menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa pengungkap ilmu dan bahasa antarabangsa abad ke-21.
PABM 2021 melibatkan penyertaan 78 peserta dari 36 negara, antaranya Bangladesh, Jepun, Uzbekistan, Mesir, Brunei, Mali dan Pakistan.
Turut hadir di majlis tersebut, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad. – SAHIH