Timbang gabungan dua parti : PKR-Amanah
Timbang gabungan dua parti : PKR-Amanah
Mantan ketua Pemuda PKR (AMK) Selangor Mohd Najwan Halimi menggesa PKR dan Amanah mempertimbangkan cadangan penggabungan dua parti itu seperti diusulkan ahli akademik.
“Saya mengusulkan agar cadangan serta pandangan yang dikemukakan oleh beliau diteliti dan dipertimbang sewajarnya oleh majlis pimpinan kedua-dua parti.
“Umum sedia maklum, kedua-dua parti memiliki citra politik yang sama yakni mengangkat agenda Reformasi, mendukung prinsip keadilan sosial serta membela hak dan kebajikan rakyat terbanyak,” katanya.
Malaysiakini Sabtu lalu melaporkan penganalisis politik Wong Chin Huat mencadangkan penggabungan kedua-dua parti itu susulan kecundangnya Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri Melaka.
Katanya, Amanah tidak wajar terus bersaing dengan PAS melalui isu seperti arak dan judi, yang boleh menyebabkan pengundi bukan Melayu dan liberal meninggalkan mereka.
Menurut Wong, PH – terutamanya PKR dan Amanah – harus menekankan isu ekonomi dan jurang dalam masyarakat.
Katanya, penggabungan kedua-dua parti itu juga akan membolehkannya menggantikan DAP sebagai parti terbesar di Dewan Rakyat dengan 46 orang ahli parlimen, sekali gus menolak propaganda PH didominasi DAP.
Dalam kenyataan hari ini, Najwan berkata “penggabungan Amanah ke dalam PKR” akan melonjakkan dukungan serta membina keyakinan rakyat khususnya pengundi Melayu di luar bandar.
Penggabungan juga, katanya, akan menguatkan jentera akar umbi serta menyelesaikan isu pembahagian kerusi pilihan raya yang selama ini menjadi cabaran kepada kedua-dua pihak.
“Pada masa sama, penggabungan Amanah ke dalam PKR akan turut mewujudkan ruang kepada pimpinan serta anggota Amanah untuk memperkukuh struktur kepimpinan PKR yang mengalami vakum di peringkat pusat, negeri dan cabang sejak berlakunya Langkah Sheraton pada tahun lalu,” katanya.
Najwan, yang dipecat sebagai ketua AMK Selangor susulan pergolakan dalaman, berkata penggabungan parti-parti politik bukanlah perkara yang baru.
PKR sendiri, katanya, bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia pada 2003 sementara Parti Melayu Semangat 46 kembali kepada Umno pada 1996.
SUMBER: Malaysiakini