PEMANDU MYVI POSITIF DADAH
Berita Kemalangan
PEMANDU MYVI POSITIF DADAH
JOHOR BAHRU: Polis menahan wanita memandu PERODUA Myvi yang terbabit kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi, di sini, semalam, hingga menyebabkan seorang lelaki meninggal dunia.
Difahamkan, pemandu berusia 23 tahun itu dipercayai tidak mempunyai lesen memandu kenderaan, selain cukai jalan dipercayai sudah tamat tempoh.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain, berkata saringan awal air kencing mendapati pemandu itu positif dadah.
Mohd Padzli berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 9 pagi itu, kenderaan dipandu wanita itu melanggar kereta jenis Honda Accord dan Proton Iswara.
“Pemandu Myvi ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saringan awal air kencing mendapati positif dadah. Siasat turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ringkas dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular video menerusi rakaman kamera perakam video berdurasi 37 saat memaparkan berlaku insiden kereta berwarna putih terbalik selepas dilanggar kenderaan lain dalam kejadian berhampiran dengan lampu isyarat.
Mohd Padzli berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca pemandu kereta (PERODUA) Myvi dipercayai hilang kawalan.
Katanya, kereta itu terbabas melanggar tembok batu pembahagi jalan sebelum merempuh dua kenderaan lain yang berada di persimpangan lampu isyarat menghala ke Plaza Pelangi Johor Bahru.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kenderaan jenis Honda Accord mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Mohd Rizal Buseri, 31, maut di tempat kejadian manakala Nur Fatin Nazrah, 23, dan Chang Ah May, 78, mengalami kecederaan ringan.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Nordatul Badrol Abd Rahman, berkata pihaknya menggerakkan sebuah jentera dengan kekuatan sembilan anggota ke lokasi kejadian.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pasukan keluaran operasi mendapati kereta jenis Honda Accord dipandu seorang mangsa dalam keadaan terbalik dan mangsa tersepit di bahagian pemandu.
“Mangsa dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak polis, manakala mangsa cedera diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sumber: BH Online