SEKTOR HOTEL KEMBALI TERJEJAS
SEREMBAN: Selepas menarik nafas lega apabila kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lepas, sektor perhotelan di negara ini kembali berdepan tempoh getir susulan gelombang baharu penularan wabak COVID-19.
Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan panas COVID-19 serta peringatan agar orang ramai mengelakkan tempat sesak selain peningkatan kes harian wabak dalam tiga angka sejak akhir-akhir ini menyebabkan masyarakat memilih berada di rumah.
Berdasarkan perkembangan semasa, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel–Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng menjangkakan berlaku penurunan kadar penginapan sekitar 15 peratus untuk tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, iaitu kerugian antara RM60 juta hingga RM100 juta bagi sektor itu.
Beliau juga berkata, kaji selidik yang dijalankan mendapati sektor perhotelan negara ini dijangka mengalami kerugian sekitar RM6.3 bilion tahun ini, merangkumi RM3 bilion untuk enam bulan pertama dan RM3.3 bilion bagi enam bulan kedua.
“Dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sejak 18 Mac lepas, kadar penginapan hotel jatuh ke tahap paling rendah iaitu sekitar lima peratus sahaja, bagaimanapun pembukaan semula sektor pelancongan domestik bermula Jun lepas merancakkan kembali sektor perhotelan dengan kadar penginapan mencatat angka tertinggi 42 peratus semasa cuti panjang bersempena Hari Kebangsaan yang lalu,” katanya kepada BERNAMA.
Yap berkata, penularan COVID-19 memaksa industri perhotelan bergantung pada pasaran domestik yang dijangka berlanjutan hingga pertengahan tahun depan.