KAMPUNG KUALA SAT DISERBU PELAWAT CUTI HUJUNG MINGGU
KAMPUNG KUALA SAT DISERBU PELAWAT CUTI HUJUNG MINGGU
JERANTUT : Kira-kira 3,000 orang pelawat mengunjungi Kampung Kuala Sat untuk menikmati alam semula jadi perkampungan tradisional di pesisir Sungai Tembeling sejak pembukaan sempadan negeri semasa cuti panjang sempena sambutan Hari Deepavali, baru-baru ini.
Sektor ekopelancongan mula dibuka di Kawasan Kuala Tahan dan juga perkampungan Melayu di pedalaman mukim Hulu Tembeling daerah ini sejak Pahang memasuki fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Zon hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun dengan aliran sungai Tembeling itu menjadi tumpuan khususnya dari Lembah Kelang dan seluruh negeri ini, iaitu Kampung Kuala Sat, yang terkenal sebagai penempatan masyarakat Melayu yang dibuka sejak 600 tahun lalu.
Kampung yang didiami penduduk Melayu yang masih mewarisi budaya dan kesenian tradisional Pahang serta penempatan masyarakat minoriti Orang Asli etnik Bateq di Kampung Bengoi, Ulu Sat serta aktiviti bermain dengan ikan liar dan berkelah di Sungai Sat antara pakej yang lengkap untuk aktiviti pelawat berhujung minggu di situ.
Penggiat ekopelancongan dan pengusaha rumah inap, Alias Hashim berkata, mulai awal bulan ini berlanjutan cuti sambutan Deepavali serta hujung minggu ini hampir 3,000 orang pelawat domestik datang mengunjungi pusat peranginan kampung tradisional tersebut.
“Penggiat dan pengusaha ekopelancongan di sini tidak menyangka kehadiran begitu ramai pelawat khususnya dari Lembah Kelang dan tempat lain selepas pengumuman kerajaan mengenai program Gelembung Pelancongan berikutan kebenaran rentas daerah dan negeri dalam Fasa 4 PPN.
“Kita sudah menerima banyak tempahan pelawat untuk menginap di pusat inap di sini, pemandu alam sekitar (nature guide) serta sewa bot penambang termasuk makanan tempatan berasaskan ikan Sungai Tembeling pada hujung minggu akan datang,” katanya di Kampung Kuala Sat dekat sini hari ini.
Katanya, kehadiran ramai pelawat ke situ juga memberikan rezeki kepada hampir 20 orang pengusaha dan pemandu bot penambang di kampung itu untuk disewa bagi memunggah pengunjung ke beberapa destinasi yang menarik berdekatan kampung tersebut termasuk melakukan aktiviti di Sungai Tembeling.
“Setelah pusat peranginan ini beroperasi, saya serta pengusaha lain memperoleh pendapatan semula menerusi sektor ini sekali gus mengurangkan tekanan setelah hampir sembilan bulan tanpa pekerjaan.
“Walaupun hampir musim tengkujuh dan berkemungkinan banjir penghujung tahun, tetapi kehadiran pelawat luar tetap ramai apabila mereka menghubungi pengusaha di sini untuk membuat tempahan tertentu,” katanya.-SAHIH