Selepas yu paus, nelayan jumpa ikan lumba-lumba pula
Selepas yu paus, nelayan jumpa ikan lumba-lumba pula
BALIK PULAU: Seorang nelayan sekali lagi tidak menduga yang kepulangannya dari perairan berdekatan Pulau Kendi di sini diiringi sekumpulan lima ekor ikan lumba-lumba bersaiz dua meter hingga ke Jeti Nelayan Teluk Kumbar petang ini.
Roslizan Ramli, 40, berkata, dia tergamam sebaik sahaja melihat hidupan laut itu mengekori sampannya sepanjang perjalanan pulang kira-kira pukul 2 petang.
Menurutnya, jarak lokasi penemuan ikan lumba-lumba adalah kira-kira 200 meter dari pantai berkenaan.
“Saya tak sangka jumpa lagi hidupan laut yang begitu jarang ditemukan di kawasan berdekatan pantai Teluk Kumbar. Selalunya, spesies tersebut kerap ditemukan kumpulan nelayan berdekatan perairan dekat Pulau Kendi.
“Hampir setengah jam hidupan laut itu berenang di tepi sampan dan saya sempat memberi makan hasil tangkapan ikan selangat.
“Saiznya kira-kira satu depa dan kelihatan amat jinak. Saya sempat merakam video dan mengambil beberapa keping gambar sebagai kenangan,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Roslizan menemukan seekor ikan yu paus bersaiz kira-kira tujuh meter ketika dalam perjalanan keluar memancing di belakang Pulau Kendi pada pukul 10 pagi.
Dia memberitahu, hidupan laut bersaiz besar akan timbul di permukaan laut setiap kali peralihan angin monsun,lapor kosmo online
“Memang sangat teruja selepas dua hari berturut-turut terserempak spesies hidupan marin yang dilindungi,” tambahnya.