BARISAN HADAPAN DAN KAKITANGAN KKM BANTU PAHANG BENDUNG WABAK COVID-19
BARISAN HADAPAN DAN KAKITANGAN KKM BANTU PAHANG BENDUNG WABAK COVID-19
TEMERLOH: Barisan Hadapan dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pahang memainkan peranan penting untuk membendung penularan wabak Covid-19 dan antara negeri pertama yang beralih ke Fasa 4, Pelan Pemulihan Negara dengan cepat serta penerima dos lengkap golongan dewasa paling tinggi.
Menteri Besar Pahang , Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kewujudan pelbagai program dan aktiviti kesihatan yang terancang dan tersusun seperti program pencegahan dan pengawalan penyakit, rawatan pesakit yang komprehensif dan sebagainya maka tidak hairanlah pencapaian negara kita dikagumi oleh negara-negara lain termasuk negara-negara maju.
“Pencapaian program kesihatan di negara ini dapat dibuktikan dengan peningkatan petunjuk-petunjuk taraf kesihatan dari setahun ke setahun.
“Ini dapat dilihat dengan kenaikan petunjuk-petunjuk taraf kesihatan menerusi laporan terkini Khazanah Research Institute (KRI) bertajuk ‘Ketidakseimbangan Sosial dan Kesihatan di Malaysia’, mendapati jangka hayat rakyat Malaysia kini hidup lebih panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Klinik dan Kuarters di Kuala Tekal, hari ini.
Katanya, secara purata, bayi lelaki dan perempuan yang lahir pada 2020 masing-masing dijangka hidup selama 72.6 dan 77.6 tahun,
“Pada tahun 1970, kadar kematian dalam kalangan bayi berumur kurang daripada 28 hari (kadar kematian neonatal) ialah 21.4 bagi setiap 1,000 kelahiran, dan kadar ini telah menurun kepada 4.1 pada tahun 2019.
“Selain itu, nisbah mortaliti ibu bersalin sudah menurun daripada 140.8 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran pada 1970 kepada 21.1 pada 2019, “katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali, Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Ishak Muhammad, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengarah Kesihatan pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus.
Wan Rosdy berkata, kejayaan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menubuhkan institusi yang begitu setanding dengan fasiliti di kawasan bandar dengan pembinaan Klinik Kesihatan Kuala Tekal ini diharap menjadi titik tolak untuk kita lebih maju dan berdaya saing dalam era globalisasi ini.
“Di Negeri Pahang sehingga 27 Oktober kita telah mencapai 87.8 % penduduk telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin bagi populasi dewasa. Saya difahamkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang sedang berusaha untuk memastikan liputan vaksin seluas mungkin.
“Kita telah berada dalam Fasa 4 dan apa yang dilakukan kerajaan amat positif walaupun masih ada kemungkinan akan dijangkiti COVID-19 selepas menerima suntikan vaksin tetapi tidak membawa kepada kematian atau keadaan yang serius, “katanya.
Tambahnya, rakyat di Negeri Pahang yang belum mengambil suntikan vaksin agar segera mendapatkannya di 62 buah Pusat Pemberian Vaksin Klinik kesihatan dan 62 buah Pusat Pemberian Vaksin fasiliti swasta berhampiran.
“Ucapan tahniah kepada semua Jabatan dan Agensi Kerajaan yang telibat dalam membangunkan hospital ini terutamanya Jabatan Kerja Raya Malaysia, Perbendaharaan Malaysia, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perkhidmatan Awam dan lain-lain, katanya.-SAHIH.