DARURAT 15 HARI
Berita Global
MADRID DARURAT 15 HARI
MADRID: Sepanyol semalam mengumumkan perintah darurat selama 15 hari di Madrid susulan peningkatan kes COVID-19 di ibu negara itu.
Ia menyaksikan pihak berkuasa menguatkuasakan semula sekatan pergerakan separa di bandaraya berkenaan.
Sebelum ini, kerajaan pusat menguatkuasakan sekatan pergerakan separa di bandaraya itu, namun perintah itu ditarik balik selepas mahkamah pada Khamis lalu membenarkan permohonan pihak berkuasa tempatan Madrid yang mencabar arahan berkenaan.
Susulan keputusan berkenaan, kerajaan mengumumkan perintah darurat, sekali gus memberikannya kuasa untuk menguatkuasakan semula sekatan pergerakan berkenaan.
BBC melaporkan bahawa 7,000 polis akan memantau penguatkuasaan sekatan berkenaan.
Perintah itu akan meliputi 4.5 juta orang penduduk di Madrid dan kawasan sekitarnya termasuk Fuenlabrada, Getafe and Leganés.
Madrid berdepan kadar jangkitan yang meningkat lebih dari 700 kes bagi 100,000 orang, berbanding hanya 300 bagi 100,000 orang di seluruh Sepanyol, kadar tertinggi dalam Kesatuan Eropah (EU).
Bandaraya itu sebelum ini pernah dikenakan sekatan pergerakan pada Mac lalu.
Masalah di Madrid sama seperti yang dihadapi pemerintah Perancis bulan lalu apabila menutup bar dan restoran di pelabuhan selatan Marseille, di mana wakil tempatan bertindak balas dengan kemarahan.
Sejak itu, penutupan sebahagian dilanjutkan ke Paris dan kawasan bandar utama yang lain, sementara empat bandar raya Perancis lainnya Khamis lalu diletakkan di bawah amaran maksimum COVID-19, yang bermaksud mereka harus menutup bar dan mengehadkan perhimpunan awam.