Fenomena luruan angin tropika boleh akibatkan banjir besar
Fenomena luruan angin tropika boleh akibatkan banjir besar
KUANTAN – Sebanyak lima hingga enam siri luruan angin tropika dijangka berlaku sepanjang Monsun Timur Laut yang dijadualkan bermula pertengahan bulan depan.
Ancaman siri angin bersama hujan lebat secara bertumpu di kawasan tertentu itu dijangka berpotensi mengakibatkan banjir di enam negeri, termasuk tiga negeri di Pantai Timur Semenanjung.
Pengarah (Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, persiapan sedang dilakukan semua pegawai dan anggota bagi menghadapi kemungkinan banjir besar tahun ini.
“Kita sudah ada ‘forward base’ di Wakaf Tapai, Terengganu untuk cuba menguruskan situasi banjir di negeri Pantai Timur dan di Ayer Hitam, Johor sebagai persiapan berdepan fenomena luruan (angin) tropika.
“Seperti berlaku di Melaka baru-baru ini dan orang kampung pun tidak bersedia (untuk berpindah) kerana paras air meningkat dengan cepat hingga mengakibatkan pasukan JBPM berdepan sedikit kesukaran dalam usaha operasi memindahkan penduduk.
“Selepas ini kita akan tempatkan bot atau aset di kawasan berisiko banjir sebelum banjir berlaku, tidak mengapalah kalau belum banjir lagi, tapi kita sudah bersedia daripada kita baharu nak bergerak ketika banjir sudah berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan di Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah JBPM Pahang, Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Beliau turut berkata, isu pembangunan tidak dirancang dengan baik, penggunaan tanah dan hutan dibersihkan bagi tujuan pertanian juga antara faktor yang boleh memburukkan lagi kesan luruan angin tropika, selain fenomena air pasang besar.
Nor Hisham turut memaklumkan, pegawai dan anggota bomba dari Melaka dan Negeri Sembilan juga akan dikerahkan bagi membantu jika keadaan banjir di Pantai Timur Semenanjung dan Johor tahun ini lebih buruk berbanding tahun lalu.
Katanya, semua aset dimiliki pasukan juga sudah diselenggara dan pemeriksaan juga sudah dilakukan bagi memastikan ia dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan sebaik arahan dikeluarkan.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai lantikan pegawai bomba bantuan, Nor Hisham berkata, semua pegawai terbabit menjalani latihan intensif selama 10 hari sebelum ditempatkan di balai bomba yang berdepan masalah kekurangan anggota.
“Mereka ini memainkan peranan penting dalam memastikan setiap tugasan dapat dilakukan sebaik mungkin dan latihan diberikan juga sama seperti pegawai dan anggota bomba yang berjawatan tetap.
“Kita memang ada masalah kekurangan pegawai dan anggota dari segi perjawatan disediakan kerajaan, jadi mereka (pegawai bomba bantuan) inilah yang melengkapkan kekurangan itu dan setakat ini, khidmat pegawai bomba bantuan ini digunakan di 18 balai bomba di Pahang,” katanya.-SAHIH