KBS Tidak Pernah Lindungi Salah Laku Babitkan Pengurusan Atlit
KBS Tidak Pernah Lindungi Salah Laku Babitkan Pengurusan Atlit
KUANTAN – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak pernah melindungi salah laku mana-mana pihak, terutamanya membabitkan pengurusan atlit negara.
Malahan, pihak Kementerian juga mengambil tindakan tegas termasuk menamatkan kontrak jurulatih yang terbabit dengan salah laku sebaik sahaja laporan polis dibuat terhadap mereka.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker ketika ditanya mengenai pendedahan atlit terjun negara, Datuk Pandalela Rinong mengenai salah laku bekas jurulatih sukan berkenaan.
“Kita (KBS) memang tidak pernah melindungi atau cuba melindungi sebarang salah laku yang didakwa sekiranya ia membabitkan keselamatan dan maruah atlit negara.
“Mengenai dakwaan Datuk Pandalela Rinong, KBS melalui Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mengambil tindakan sebaik sahaja menerima laporan rasmi dengan tidak menyambung kontrak mereka sebaik sahaja tamat,” katanya.
Semalam, atlit terjun kelahiran Sarawak itu mendedahkan pernah mempunyai pengalaman dengan jurulatihnya yang gemar membuat lawak lucah.
“Dulu saya ada seorang ‘coach’ ni suka buat lawak lucah, saya buat diam je tak pun fake laugh sebab takut dia. Pernah sekali tak tahan saya tegur dia, tapi kena buli balik. 7 tahun kemudian dia buat kes rogol,” luahnya menerusi ciapan di laman sosial Twitter.
Menerusi ‘tandapagar’ #rapejokeisnotfunny, beliau menyambung perkongsiannya itu selang beberapa minit menerusi ciapan balas: “Tapi paling sedih dalam 7 tahun tu dia buat hal setiap tahun. Tapi kami atlet tak boleh buat apa, sebab ‘backup’ besar dia adalah ‘head coach’ kami sendiri.”
Bagaimanapun, beliau dengan segera menulis ciapan balas menyatakan beliau dan rakan-rakannya bernasib baik kerana dilindungi oleh persatuan sukan mereka.
Situasi ini telah berakhir, katanya.
Sementara itu, Lian Ker memaklumkan, KBS sudah menubuhkan jawatankuasa khas mengenai salah laku pada tahun lalu bagi memberi ruang kepada semua atlit menyalurkan maklumat mengenai salah laku atau apa sahaja yang membabitkan masalah sepanjang menjalani latihan.
“Kita tidak pernah berkompromi dengan mana-mana salah laku dan KBS memandang serius jika ada laporan dibuat.
“Setakat ini tidak ada isu lain timbul dan jika ada, kita galakkan mereka menyalurkan maklumat dan kita memberi jaminan akan melindungi pemberi maklumat,” katanya.-SAHIH