JATUH BASIKAL DILANGGAR LORI
KLUANG: Seorang kanak-kanak lelaki maut dilanggar lori dipercayai selepas terjatuh basikal di kawasan perumahan Taman Rekamas 2, Simpang Renggam dekat sini semalam.
Mangsa, Abang Muhammad Haizad Abang Thimbone, 12, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 4 petang itu kerana parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, mangsa dipercayai sedang bermain basikal sebelum terjatuh dan dilanggar lori jenis Daihatsu seberat satu tan.
“Pemandu lori itu berusia 52 tahun dikatakan tidak nampak atau sedar mangsa di situ dan sebaik menyedari melanggar sesuatu dia memberhentikan kenderaannya kira-kira 15 meter dari lokasi mangsa terbaring.
“Mangsa masih berada di tengah jalan ketika polis tiba di lokasi, manakala basikalnya dipercayai sudah pun dialihkan ke tepi jalan,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan lorinya tiada sebarang kerosakan.
“Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan. Pemandu lelaki itu ditahan untuk bantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber: Sinar Harian