KEBENARAN RENTAS NEGERI BANTU RANCAK EKONOMI SETEMPAT
KEBENARAN RENTAS NEGERI BANTU RANCAK EKONOMI SETEMPAT
JERANTUT: Keputusan kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri adalah bagi merancakkan semula kegiatan ekonomi setempat.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang tadi juga bukanlah keputusan tergesa-gesa, tetapi diambil selepas lebih 90 peratus golongan dewasa di negara ini sudah lengkap menerima vaksin masing-masing.
RAZAK DAUD/KETUA PENEROKA JENGKA 24
“Saya percaya pengumuman itu disambut baik semua pihak, terutamanya golongan perantau yang sudah lama menunggu peluang untuk kembali berjumpa ibu bapa mereka.
“Kita harap kelonggaran ini digunakan sebaik mungkin dan tidak membuatkan kita lalai hingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Razak berpendapat, keputusan kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri ini juga dapat membantu merancakkan kembali sektor ekonomi setempat, terutamanya sektor pelancongan yang terjejas teruk sejak tahun lalu.
Katanya, pematuhan SOP ketat perlu dilakukan semua pihak supaya tidak berlaku penularan COVID-19 susulan kelonggaran diberikan kerajaan.
“Kita perlu bersedia untuk hidup dalam norma baharu, hidup bersama COVID-19 kerana negara kita sedang menuju ke fasa endemik dan paling penting ialah kita terus kekal mematuhi SOP di mana sahaja kita berada selepas ini,” katanya.-SAHIH.