PENIAGA APAM BALIK LEGA, KEBENARAN RENTAS DAERAH DAN NEGERI DIBENARKAN
PENIAGA APAM BALIK LEGA, KEBENARAN RENTAS DAERAH DAN NEGERI DIBENARKAN
JERANTUT : Gerai makanan yang juga menjual apam balik dan ‘waffle’ di Kampung Pagi, sebuah kampung tradisional Melayu pesisir Sungai Tembeling di Mukim Hulu Tembeling daerah ini sudah sebati dengan pelanggan tempatan termasuk pengunjung luar.
Robiatul Adawiyah , 39, berkata, kini dia dan suami menarik nafas lega apabila tempoh fasa pemulihan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perdana Menteri mengumumkan kebenaran merentas negeri dibolehkan, agar perniagaannya pulih semula apabila pelanggan dibolehkan ‘dine-in’ di gerainya.
“Agak tertekan, dalam tempoh penguatkuasaan PKP apabila premis itu diarahkan ditutup ketika pandemik Covid-19 menular pada bulan Mei lalu malahan kampung tersebut juga tidak terkecuali diikuti tiada pengunjung ke sini.
“Saya dan suami, Mohd Shahrifuan Mohamad mengalami tekanan pendapatan selepas kedai kami ditutup dan kemudiannya cuma dibenarkan menjual makanan secara ‘pandu lalu’ ,tetapi hasil jualan cuma dapat menampung modal tetapi masih terbeban untuk belanja menyara kebajikan keluarga,” katanya.
Katanya, penduduk kampung ini tidaklah begitu ramai untuk berbelanja selain tidak dapat keluar kerana berwaspada dengan ancaman pandemik Covid-19 termasuk pengunjung luar tidak boleh datang melawat ke Hulu Tembeling berikutan sekatan rentas daerah dan negeri.
“Saya bersyukur dengan kebenaran rentas daerah dan negeri dibenarkan, diharap orang ramai perlu berdisiplin menjaga penjarakan fizikal dan perlu memakai pelitup muka agar penguatkuasaan PKP berlaku semula.
“Saya menggunakan kemahiran dan pengalaman berniaga khususnya memasak lauk-pauk tempatan, membuat apam balik dan ‘waffle’ sewaktu bekerja sebagai pembantu di sebuah retoran di Taman Negara Kuala Tahan selama beberapa tahun sebelum ini,” katanya.
Katanya, dia berterima kasih kepada Risda Pahang yang membantu kewangan membina kedai ini, membeli peralatan berniaga dan juga sambil berharap pandemik Covid-19 segera pulih sepenuhnya dan sektor pelancongan di Hulu Tembeling akan berjalan seperti biasa.-SAHIH.