3 ASPEK PERKUKUH TDM
Berita Nasional
3 ASPEK PERKUKUH TDM
MELAKA: Komunikasi, mobiliti dan kuasa tembakan dikenal pasti sebagai tiga aspek yang akan ditingkatkan dalam usaha memperkukuh infantri Tentera Darat Malaysia (TDM).
Bagaimanapun, itu bukan bermakna infantri TDM ketika ini lemah dan tidak berupaya memelihara kedaulatan negara daripada ancaman musuh, sebaliknya ia harus dimajukan sejajar pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, berkata TDM sudah mengemukakan permohonan untuk tujuan itu kepada Kementerian Pertahanan bagi dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Ia penting bagi memastikan TDM sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi memelihara kedaulatan negara,” katanya pada sidang media selepas majlis Penganugerahan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Para kepada beliau di Dataran Parawood, Kem Terendak, Sungai Udang di sini, semalam.
Pada majlis itu, beliau menerima beret berkenaan daripada Panglima 10 Briged Para, Brig Jen Semaon Marjuki yang turut menyematkan sayap itu pada dadanya.
Majlis itu adalah sempena Ulang Tahun 10 Briged Para Ke-26 hari ini. Zamrose adalah penerima ketujuh daripada kalangan Panglima TDM.
Sumber: BH Online