MICROSOFT IZIN KERJA DARI RUMAH
Berita Global
MICROSOFT IZIN KERJA DARI RUMAH
WASHINGTON: Syarikat gergasi perisian, Microsoft, akan membenarkan kakitangannya bekerja dari rumah secara tetap jika mereka mahu, lapor media Amerika Syarikat (AS), semalam.
Keputusan itu menyaksikan Microsoft muncul sebagai majikan terbaru yang memperluaskan peruntukan bekerja dari rumah berikutan pandemik COVID-19.
Laman web berita teknologi AS, The Verge, melaporkan kebanyakan kakitangan Microsoft masih bekerja dari rumah memandangkan krisis wabak terbabit belum reda, dan syarikat itu tidak bercadang membuka semula pejabat di AS hingga seawal-awalnya Januari tahun depan.
Apabila pejabat dibuka semula nanti, kakitangannya boleh memilih untuk bekerja dari rumah secara tetap dengan mendapatkan lampu hijau daripada pengurus mereka.
Ketua Sumber Manusia Microsoft, Kathleen Hogan, berkata pandemik COVID-19 telah mencabar mereka semua untuk berfikir, hidup dan bekerja mengikut cara baharu.
“Kami akan menawarkan sebanyak mungkin fleksibiliti untuk menyokong gaya bekerja individu, sementara mengimbangi keperluan perniagaan dan memastikan budaya kita dapat diteruskan,” katanya dalam satu memo kepada kakitangan yang diperoleh The Verge.
Bagaimanapun, The Verge melaporkan, sesetengah kakitangan tidak akan menikmati kelonggaran itu, seperti mereka yang bertugas di makmal Microsoft atau terbabit melatih pekerja lain.
Menurut laporan The Verge, dalam memo, syarikat diasaskan bersama oleh Bill Gates itu memaklumkan bahawa kakitangan Microsoft boleh berpindah merentasi seluruh AS atau mungkin juga luar negara.
Kakitangan terbabit berkemungkinan mengalami perubahan gaji dengan bergantung pada lokasi mereka pergi, selain syarikat tidak akan menanggung perbelanjaan penempatan semula.
Setakat akhir Jun lalu, Microsoft mempunyai 163,000 pekerja dengan 96,000 daripadanya berpangkalan di AS.
Beberapa firma teknologi utama dilaporkan sudahpun membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah secara tetap, termasuk Facebook.
Sumber: *AFP”