PAHANG LULUS LOT TANAH UNTUK GENERASI KEDUA FELDA
PAHANG LULUS LOT TANAH UNTUK GENERASI KEDUA FELDA
JERANTUT : Keputusan kerajaan Pahang meluluskan lot tanah untuk pembinaan rumah kepada generasi kedua FELDA di negeri ini adalah bukti keprihatinan barisan EXCO dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, melalui kelulusan itu juga, masalah membabitkan perumahan generasi kedua FELDA dapat diatasi dengan lebih berkesan.
“Sebagai seorang peneroka yang sudah lama bersama FELDA, saya sangat terhutang budi dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Keusahawanan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Nazri Ngah atas usaha beliau membawa isu perumahan generasi kedua FELDA hingga mendapat perhatian Datuk Seri Menteri Besar.
Razak Daud /Ketua Peneroka Jengka 24
“Saya fikir inilah penyelesaian terbaik yang boleh dilakukan kerajaan Pahang untuk mengatasi isu perumahan generasi kedua FELDA yang sudah berlanjutan sejak sekian lama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Razak berkata, pengagihan lot tanah ini akan dilakukan secepat mungkin bagi memberi peluang kepada semua generasi kedua merancang untuk membina kediaman mereka.
“Untuk peneroka di FELDA Jengka 24, kita sudah kenal pasti lot kosong yang boleh diagihkan kepada generasi kedua.
“Kita jangka kira-kira 300 anak muda di FELDA Jengka 24 bakal menerima manfaat ini dan impian mereka untuk memiliki kediaman sendiri akan menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berkata, keputusan dibuat kerajaan Pahang bukan sahaja memberi kemudahan kepada generasi kedua di FELDA Jengka 24, tapi bakal dinikmati semua generasi kedua FELDA di seluruh Pahang.-SAHIH