LIMA KAMPUNG DI HULU TEMBELING DAPAT RANGKAIAN 4G
LIMA KAMPUNG DI HULU TEMBELING DAPAT RANGKAIAN 4G
JERANTUT : Penduduk di lima buah kampung di kawasan pedalaman Hulu Tembeling, Jerantut bakal menikmati rangkaian jalur lebar 4G lebih awal daripada jadual asal yang sepatutnya siap sepenuhnya pada November 2021.
Lima menara telekomunikasi yang terdapat di kawasan itu telah dinaiktaraf lebih awal daripada jadual sepatutnya dan bakal mendapat perkhidmatan berkualiti serta kelajuan internet yang lebih baik selepas dinaik taraf.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr. Fadlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, lima menara telekomunikasi tersebut terletak di Kampung Gusai, Kampung Mat Daling, Kampung Kuala Sat dan Kampung Bantal di daerah Jerantut.
“Lima menara yang telah pun dinaikkan taraf daripada rangkaian 3G kepada 4G itu memudahkan perhubungan dan komunikasi yang meluas dan terbaik,” katanya selepas melakukan Lawatan Kerja ke beberapa kampung di Hulu Tembeling, Jerantut bagi meninjau kadar capaian internet di lokasi pedalaman.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin, Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris dan Ketua Kampung Mat Daling, Wan Mohd Sahaimi Wan Ishak.
Katanya, Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilaksanakan oleh SKMM telah mendapat kerjasama baik daripada pihak Kerajaan Pahang apabila berjaya mencapai sasaran berdasarkan beberapa fasa yang dirancang.
“Fasa1 bagi tempoh 2020 hingga 2022 telah berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Kejayaan ini bergantung bantuan yang diterima daripada pihak kerajaan negeri dari pelbagai aspek.
“Selain itu, sudah ada aplikasi atas talian iaitu Jendela Map di mana pengguna boleh memeriksa kawasan-kawasan yang mempunyai liputan atau tidak,” katanya.-SAHIH.