KARIPAP INTI KUKU
KARIPAP BERINTI KUKU
PETALING JAYA: Beberapa gambar karipap yang sedang tular di laman sosial Facebook semalam menjadi bualan orang ramai apabila kuih tersebut berintikan kuku manusia.
Menerusi perkongsian gambar oleh Mee di Facebook melalui kumpulan Masak Apa Tak Jadi Hari Ini Official, dia telah menjumpai kuku penuh berdaki yang berada di dalam inti kuih karipap tersebut.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan oleh Mee di Facebook, dia sedang menjamah kuih berkenaan sebelum menjumpai kuku di dalam inti karipap itu.
“Maaf lari tajuk hari ini ‘bukan masak apa tak jadi hari ini’ tengah sedap-sedap makan karipap tiba-tiba terjumpa kuku, terus rasa mual dan nak muntah, dahlah kuku itu berdaki,” katanya.
Menurutnya, dia sudah melaporkan insiden terbabit kepada peniaga tersebut dan penjual itu menjelaskan mereka membeli karipap sedia ada yang dijual di pasar sebelum menjualnya kembali kepada orang ramai.
Sementara itu, rata-rata orang ramai berasa loya melihat kuku yang berada pada inti karipap tersebut, malah ada juga yang berkongsi pengalaman menghadapi situasi yang hampir sama.
“Pernah juga makan karipap terjumpa rambut, bukan sekali tapi dah berkali-kali nak bagitahu dekat orang itu, segan pula rasanya. Mungkin dia tak sengaja,” kata Norain Selamat.
“Nak berniaga kena potong kuku pendek dan bersih, ini panjang-panjang uli-uli isi karipap lepas itu kuku patah tak sedar, Allah kesian dekat pembeli,” jelas Puan Eja Aiman.
“Boikot sahaja peniaga macam itu, patut kita ‘viral’ kan sebab pengotor, benci betul orang berniaga simpan kuku panjang-panjang ini, tengok gambar sahaja dah rasa loya nak muntah,” ujar Hanafi Zamri.
Rata-rata orang ramai juga turut menegaskan bahawa peniaga sepatutnya menitik beratkan aspek kebersihan agar tidak berlaku perkara-pekara seperti ini lagi.
Sumber: K! ONLINE